Ikuti Kami:

Pasya Kembali Dengan ‘Aku Bukan Cinta’, Lagu Tentang Luka dan Keberanian Melepaskan

Pasya Kembali Dengan ‘Aku Bukan Cinta’, Lagu Tentang Luka dan Keberanian Melepaskan

Naib juara program realiti nyanyian popular Mentor 7, Pasya kembali mewarnai industri muzik tanah air dengan single terbaharu berjudul Aku Bukan Cinta, sebuah karya balada emosional yang sarat dengan mesej kekuatan dan kejujuran dalam menghadapi kehilangan cinta.

Diterbitkan di bawah label Seventeen Eleven Music, lagu ini merupakan hasil ciptaan komposer terkenal yang pernah menjuarai Anugerah Juara Lagu ke-39, Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh, dengan lirik ditulis sepenuhnya oleh Ikhwan Fatanna.

Tidak sekadar membawa kisah putus cinta, Aku Bukan Cinta mengetengahkan tema keberanian untuk melepaskan sesuatu yang tidak lagi memberi kebahagiaan, satu realiti yang sering dialami dalam kehidupan sebenar.

Menurut Pasya atau nama sebenarnya Faizul Ashraff Fauzi, lagu tersebut amat dekat di hatinya dan mencerminkan sisi lebih matang dalam perjalanan seninya.

“Single Aku Bukan Cinta adalah lagu balada yang cukup emosional, membawa kisah tentang luka apabila cinta tidak dihargai. Ia bukan sekadar tentang perpisahan, tetapi juga tentang keberanian untuk menerima hakikat dan melepaskan sesuatu demi kebahagiaan diri sendiri,” katanya.

Tambahnya lagi, kali pertama mendengar demo lagu ini, beliau terus jatuh hati kerana kekuatan melodi dan liriknya yang begitu dekat dengan realiti kehidupan.

“Saya percaya ramai yang pernah melalui pengalaman seperti dalam lagu ini. Ia ada ‘jiwa’ yang mampu menyentuh hati pendengar,”

“Ikhwan memberi sentuhan lirik yang puitis tetapi mudah difahami, manakala Wan Saleh menghidupkan lagu ini dengan susunan muzik moden dan segar. Saya banyak belajar daripada mereka sepanjang proses rakaman,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Pasya berkata cabaran utama ketika merakam lagu ini ialah memastikan setiap bait lirik disampaikan dengan penuh kejujuran agar mesejnya benar-benar dirasai oleh pendengar.

“Saya mahu setiap nota yang dinyanyikan membawa emosi sebenar. Kalau lagu ini mampu memberi kekuatan kepada mereka yang pernah terluka, itu sudah cukup bermakna buat saya,” jelasnya.

Dengan melodi indah, susunan muzik segar serta mesej yang menyentuh jiwa, Aku Bukan Cinta diyakini bakal mengukuhkan lagi kedudukan Pasya sebagai antara penyanyi muda berbakat besar dalam dunia balada tempatan.

Single Aku Bukan Cinta kini boleh distrim di semua platform digital, selain turut tersenarai dalam carta radio utama seperti Era FM. Video muzik rasmi lagu ini juga boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.

Komen
Loading...