Pasport Bermasalah & Cukai Tertunggak Antara Halangan Impian Makan Tomyam Asli Thailand
- oleh Mohd Indera
- 4 minggu lalu
Hasrat salah seorang rakyat Malaysia yang terjejas untuk masuk ke Thailand, dikenali sebagai Maznah berkata namanya tersenarai dalam sekatan perjalanan kerana gagal menjelaskan cukai pendapatan.
“Saya memang teruja nak makan tomyam asli di Hatyai dan bercuti dengan keluarga besar, tapi tiba-tiba semuanya musnah. Saya tak sedar ada masalah cukai,” katanya dengan nada kecewa.
Media melaporkan lebih 51,000 pelancong melalui pintu sempadan negara di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam untuk ke Thailand, sempena cuti persekolahan dan Hari Malaysia serta Maulidur Rasul.
Memetik The Malay Mail, Pengarah Imigresen Kedah Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata masalah itu dikesan melalui data yang diperoleh daripada Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.
“Terdapat 10 kes melibatkan pasport rosak seperti koyak, air rosak, muka surat hilang dan calar.
“Terdapat juga 20 kes berkaitan tunggakan cukai pendapatan dan sembilan kes melibatkan isu kastam, menjadikan perjalanan rentas sempadan ini lebih mencabar bagi mereka yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Ridzwan berkata bagi mengelakkan tekanan dan kekecewaan di saat akhir, semua rakyat Malaysia dinasihatkan untuk menyemak status perjalanan mereka secara dalam talian di portal Sistem Semakan Perjalanan Imigresen (SSPI) sebelum membuat sebarang rancangan untuk melancong ke luar negara.