Pasha Janji Persembahan Istimewa di Konsert ‘Symphony of Ungu’ Di Plenary Hall KLCC
- oleh Mohd Indera
- 1 hari lalu

Pasha, vokalis utama kumpulan Ungu, berjanji akan membawa persembahan istimewa pada konsert Symphony of Ungu yang bakal diadakan pada 12 Julai 2025 di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).
Konsert ulang tahun ke-29 kumpulan rock popular ini menampilkan gabungan unik muzik Ungu bersama iringan orkestra yang dikendalikan oleh J.P Denny, menjanjikan pengalaman muzik yang lebih megah dan penuh magis.
“Ini adalah kali pertama kami mengadakan konsert dengan konsep orkestra, dan saya janji ia akan menjadi sesuatu yang belum pernah disaksikan oleh peminat kami,” ujar Pasha dalam sidang media secara maya pada Khamis.
Konsert berdurasi dua jam ini akan menyaksikan lagu-lagu popular seperti “Cinta Dalam Hati”, “Demi Waktu” dan “Tercipta Untukku” diolah dengan sentuhan orkestra, memberikan dimensi baru kepada karya-karya Ungu.
Pasha berharap konsert ini bukan sahaja menjadi hiburan tetapi juga meninggalkan kenangan manis kepada semua yang hadir.
“Setiap orang akan ada cerita mereka sendiri selepas menyaksikan persembahan ini. InsyaAllah, ia akan menjadi sesuatu yang baharu dan istimewa,” tambahnya.
Selain Pasha sebagai vokalis utama, kumpulan Ungu turut dianggotai oleh Enda (gitar utama), Oncy (gitar ritma), Makki (keyboard), dan Rowman (dram).
Kesemua ahli band ini telah bersama-sama membawa nama Ungu kekal relevan dalam industri muzik Malaysia dan Indonesia selama hampir tiga dekad.
Penganjur, Apex Venture Global Sdn Bhd, mensasarkan kehadiran kira-kira 2,865 penonton yang terdiri daripada peminat setia Ungu dari Malaysia dan Indonesia.
Harga tiket dijual bermula dari RM288 hingga RM1,588 dan boleh dibeli secara dalam talian melalui platform www.ticket2u.com.my.