Ikuti Kami:

Pasca GV2026: Nubhan ‘Luah’ Perasaan Menerusi Andai Derita

Pasca GV2026: Nubhan ‘Luah’ Perasaan Menerusi Andai Derita

Selepas memberikan persaingan sengit di pentas realiti popular, Gegar Vaganza 2026 (GV2026), penyanyi bersuara gemersik, Nubhan, tidak menunggu lama untuk mengukuhkan semula posisinya dalam industri muzik tanah air.

Terbaharu, bekas bintang Akademi Fantasia musim keenam ini tampil mempertaruhkan single terbaharu berjudul Andai Derita.

Naskhah ini dianggap sebagai hadiah istimewa buat peminat yang merindui kualiti vokal baladanya selepas beberapa tahun tanpa sebarang rakaman terbaharu.

Bercerita mengenai pengisian lagu tersebut, Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahamad, menjelaskan bahawa Andai Derita membawa pendengar menyelami sisi gelap sebuah perhubungan.

Ia menceritakan tentang ketabahan seorang lelaki yang tetap setia meskipun kepercayaan yang diberi telah dikhianati.

“Lagu ini bukan tentang amarah yang diluahkan atau dendam yang dilaungkan. Sebaliknya, ia adalah tentang cinta yang memilih untuk diam, bertahan dan akhirnya akur dengan ketentuan atau redha.

“Setiap manusia pasti pernah singgah di persimpangan derita. Saya hadirkan lagu ini sebagai teman untuk mereka yang sedang memujuk hati dalam diam. Ada masanya, derita itu tidak perlu dilawan, cukup sekadar diterima dengan keredhaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Lebih menarik, single ini diterbitkan di bawah edaran label terkemuka, Luncai Emas. Kerjasama ini dilihat sebagai langkah strategik buat Nubhan untuk terus relevan dan konsisten dalam pasaran muzik tempatan, memandangkan kredibiliti label tersebut dalam melahirkan karya-karya bermutu.

Liriknya yang puitis seperti bait “Demi bahagiamu, biarku pergi sayang” digambarkan sebagai sebuah doa yang tidak terucap, manakala melodinya pula disusun indah bagi membelai jiwa mereka yang pernah terluka.

Selain aktif menyanyi, Nubhan yang juga popular dengan lagu hits Oh Juwita dan lagu duet bersama Siti Nordiana, Sekali Lagi, kini merupakan seorang usahawan berjaya serta pencipta kandungan (content creator) yang mempunyai pengaruh besar di media sosial.

Namun, muzik tetap menjadi nadi utamanya. Melalui Andai Derita, Nubhan berharap agar karya ini mendapat tempat di hati peminat serta rakan media yang sentiasa menyokong perjalanan seninya sejak awal penglibatan.

Single Andai Derita kini sudah boleh didengari di semua platform penstriman digital seperti Spotify dan Apple Music bermula 16 Januari lalu.

Dalam pada itu, video muzik rasmi lagu berkenaan dijangka akan menemui penonton di saluran YouTube Luncai Emas dalam masa terdekat.

Komen
Loading...