Ikuti Kami:

Pasangan Pertama Bernikah Secara ‘Online’

Pasangan Pertama Bernikah Secara ‘Online’

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) hari ini melaksanakan Majlis Akad Nikah satu pasangan pengantin dari Kuala Lumpur, Muhammad Don Haadi Don Putra, 29, dan Nahdatul Aishah Mohd Sharif, 29 secara atas talian (online).

Majlis akad nikah itu diadakan di dua lokasi berbeza dengan pengantin perempuan bersiaran langsung daripada rumahnya di Bandar Baru Wangsa Maju, Setapak dan pengantin lelaki pula berada di Setiawangsa.

Difahamkan, majlis tersebut terpaksa dilakukan secara atas talian kerana kekangan yang dihadapi daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Tambah menarik, majlis akad nikah itu bukan sahaja unik kerana pertama kali diadakan dengan cara sedemikian, malah ia turut disaksikan seluruh negara melalui  Facebook Live Berita AlHijrah.

Antara yang tidak ketinggalan menyaksikan majlis akad nikah penuh bersejarah itu adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail yang dilihat turut berada di lokasi majlis melalui satu kiriman gambar yang disertakan.

Menurut laporan portal ALHIJRAH ONLINE, majlis nikah atas talian itu dilakukan selaras dengan kebenaran dikeluarkan pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sebelum ini yang membolehkan pasangan melaksanakan akad secara sidang video.

Antara negara melaksanakan nikah online ekoran penularan wabak COVID-19 adalah Emeriyah Arab Bersatu (UAE).

Kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu hingga 28 April depan bagi mengekang penularan COVID-19 di negara ini.

Komen
Loading...