
Peminat muzik alternatif dan indie bakal dihiburkan dengan persembahan eksklusif kumpulan terkenal dari Indonesia, Parade Hujan, yang bakal menggegarkan pentas berprestij Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) pada Sabtu, 21 Jun 2025, jam 8.00 malam.
Konsert ini merupakan penampilan sulung kumpulan tersebut di DFP, yang dikenali dengan akustik bertaraf dunia serta sering menjadi tuan rumah kepada artis dan pemuzik antarabangsa.
Parade Hujan, yang dahulunya dikenali sebagai Payung Teduh, membawa konsep muzik unik gabungan folk, jazz dan irama tradisional seperti keroncong, menjadikan mereka antara kumpulan paling berpengaruh di rantau ini. Dianggotai oleh Is (vokal/gitar), Comi (kontra-bass), Cito (dram), dan Ivan (gitarlele/trumpet), kumpulan ini berjaya mencuri perhatian ramai sejak kemunculan mereka pada tahun 2007.
Lagu-lagu popular seperti Angin Pujaan Hujan, Akad, Berdua Saja, Kucari Kamu, dan Untuk Perempuan Yang Sedang Dalam Pelukan bukan sahaja meraih jutaan tontonan di platform digital, malah sering dijadikan runut bunyi dalam pementasan teater dan filem.
Konsert ini akan mempersembahkan rangkaian lagu-lagu ikonik kumpulan tersebut yang dijangka mengimbau nostalgia serta menyentuh emosi para penonton.
Parade Hujan juga dikenali dengan gaya persembahan yang intim dan penuh penghayatan, sejajar dengan suasana elegan yang ditawarkan oleh DFP.
Harga tiket bagi konsert ini ditawarkan dalam julat RM189 hingga RM503, termasuk pilihan eksklusif suite dan pakej Meet & Greet yang terhad kepada 60 peminat sahaja dengan bayaran tambahan.
Tempahan tiket boleh dibuat melalui talian rasmi DFP di 03-2331 7007, emel [email protected] atau secara dalam talian di www.dfp.com.my.