Ikuti Kami:

Parade Hujan Cipta Sejarah di Pentas Berprestij DFP

Parade Hujan Cipta Sejarah di Pentas Berprestij DFP

Kumpulan muzik alternatif dari Indonesia, Parade Hujan, mencipta detik bersejarah apabila buat pertama kalinya mempersembahkan karya mereka di pentas bertaraf dunia, Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), pada malam Sabtu lalu.

Konsert yang bermula jam 8 malam itu bukan sekadar persembahan biasa, malah menjadi titik penting dalam perjalanan muzik kumpulan yang pernah dikenali sebagai Payung Teduh.

DFP yang sinonim dengan persembahan orkestra klasik membuka ruang buat Parade Hujan menghadirkan kelainan dengan gabungan unik muzik folk, jazz, dan unsur tradisional seperti keroncong.

Dalam ucapannya di pentas, vokalis utama Is meluahkan rasa bangga apabila diberi peluang membuat persembahan di lokasi yang sangat istimewa itu.

“Kami berbangga muzik kami dapat dipentaskan di dewan yang begitu istimewa dan berprestij ini. Selalunya pentas ini akan bergema dengan muzik orkestra, tetapi kali ini muzik kami, Parade Hujan, dapat dinikmati oleh peminat-peminat kami buat pertama kali di dewan ini,”

“Terima kasih kepada DFP kerana telah menyajikan berbagai genre muzik untuk peminat muzik,” ujarnya sambil menerima sorakan hangat daripada penonton.

Kehadiran peminat yang memenuhi ruang dewan membuktikan bahawa muzik alternatif serantau masih mendapat tempat di hati khalayak.

Dengan susunan lagu penuh emosi dan suasana persembahan yang intim, Parade Hujan mengangkat muzik mereka ke tahap baharu yang lebih matang dan menyentuh jiwa.

Sepanjang konsert, mereka mempersembahkan deretan lagu popular seperti Kucari Kamu, Dihujung Malam, Lagu Puan Bermain Hujan, Datang, Berdua Saja, Kita Adalah Sisa-Sisa Keikhlasan yang Tak Dikhlaskan, Diatas Meja, Angin Pujaan Hujan, Rahasia, Cerita Tentang Gunung dan Laut, Muram, Untuk Perempuan Yang Dalam Pelukan, Menuju Senja dan Akad.

Kesemua lagu ini tidak hanya dinyanyikan, tetapi turut dirasai bersama oleh setiap hadirin yang hadir.

Parade Hujan turut menutup pentas dengan lagu Resah sebagai encore, satu kejutan istimewa yang disambut penuh emosi oleh peminat yang enggan berganjak dari tempat duduk.

Lagu melankolik itu menjadi penutup sempurna kepada malam penuh kenangan, menyimpulkan persembahan mereka dengan rasa syukur, cinta, dan kejujuran yang menjadi teras muzik Parade Hujan.

Komen
Loading...