Ikuti Kami:

Papan Iklan Konsert Tribute Nirvana Menghiasi Kuala Lumpur

Papan Iklan Konsert Tribute Nirvana Menghiasi Kuala Lumpur

Peminat grunge di Malaysia kini disapa dengan paparan ikonik papan iklan yang mengumumkan konsert Nirvana Tribute Experience, sebuah penghormatan kepada kumpulan legenda yang telah mengubah landskap muzik dunia.

Papan iklan ini kini menghiasi beberapa lokasi strategik di sekitar ibu kota, mencipta keterujaan dalam kalangan peminat muzik alternatif.

Konsert ini, yang bakal diadakan buat pertama kalinya di Malaysia merupakan peluang bagi peminat untuk kembali menghayati semangat dan energi yang ditinggalkan oleh Kurt Cobain dan kumpulannya.

Visual pada papan iklan dengan logo ikonik ‘Smiley Face’ Nirvana tersebut membangkitkan nostalgia bagi mereka yang mengikuti perjalanan Nirvana sejak era 1990-an.


FOTO: ABC NEWS.

Nirvana, ditubuhkan pada tahun 1987 di Aberdeen, Washington, dikenali sebagai pelopor kepada gerakan grunge yang berasal dari Seattle.

Dengan album Nevermind yang diterbitkan pada tahun 1991, Nirvana bukan sahaja mencipta sejarah dengan lagu hit seperti “Smells Like Teen Spirit” tetapi juga mengubah arus perdana muzik rock ketika itu.

Kurt Cobain, selaku vokalis dan penulis lirik, menjadi ikon budaya yang kekal dikenang walaupun selepas kematiannya pada tahun 1994.

Ramai peminat mula berkongsi gambar dan video papan iklan ini di media sosial, menyemarakkan lagi keterujaan menjelang konsert yang dinanti-nantikan.

Walaupun belum ada pengumuman rasmi mengenai tarikh atau lokasi konsert, papan iklan ini sudah mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan peminat.

Komen
Loading...