Papa Zola The Movie: Watak Ikonik Kini Terajui Filem Sendiri Disember Ini
- oleh Mohd Indera
- 2 minggu lalu

Watak ikonik Papa Zola, yang telah mencuit hati jutaan peminat di Malaysia dan Indonesia dengan jenaka bersahaja dan tagline “Kebenaran!”, kini akhirnya muncul sebagai teraju utama dalam filem animasinya sendiri — Papa Zola The Movie, yang dijadualkan menemui penonton Disember ini.
Diterbitkan oleh MONSTA dengan kerjasama Astro Shaw, filem ini menandakan langkah besar bagi francais Papa Zola yang sebelum ini hanya tampil sebagai watak sampingan dalam BoBoiBoy The Movie (2016) dan BoBoiBoy Movie 2 (2019).
Kali ini, beliau memimpin sepenuhnya jalan cerita, membawa penonton menyelami asal-usulnya dalam sebuah kisah yang penuh aksi, emosi dan nilai kekeluargaan.
Teaser rasmi filem ini telah mencetuskan fenomena sejak dilancarkan, mencatat lebih 2 juta tontonan dalam masa kurang 24 jam di pelbagai platform digital — satu pencapaian luar biasa yang menandakan keterujaan tinggi peminat terhadap kemunculan sulung Papa Zola sebagai watak utama di layar perak.
“Papa Zola ialah watak yang amat dekat di hati masyarakat kita. Filem ini bukan sahaja menyelongkar kisah hidupnya, malah membawa mesej keberanian dan kasih sayang yang sesuai untuk tontonan semua peringkat umur,” ujar pengarah Papa Zola The Movie, Nizam Abd Razak.
Papa Zola bukan sekadar watak kartun — beliau telah menjadi ikon media sosial dengan lebih 3 bilion tontonan menerusi meme, video pendek dan kandungan jenaka yang sering dikongsi meluas.
Kini, MONSTA membawanya keluar dari dunia maya ke skrin pawagam, dalam satu pengalaman sinematik berskala besar.
Filem ini juga menyokong inisiatif #aniMY yang memacu industri animasi tempatan serta menyemarakkan semangat #sapotlokal dalam kalangan penonton.
MONSTA terus mengukuhkan reputasinya sebagai peneraju animasi Malaysia, dengan karya bertaraf antarabangsa yang tetap berakar pada budaya dan nilai tempatan.
Dengan tema kekeluargaan, keberanian dan serangan bergamifikasi makhluk asing yang mendebarkan, Papa Zola The Movie dijangka menjadi antara tontonan wajib hujung tahun ini.
Jangan lepaskan peluang untuk menonton Papa Zola dalam misi paling penting hidupnya, bermula Disember 2025 di pawagam seluruh negara!