Ikuti Kami:

Panggung Purnama Fasa Pertama Dibuka Dengan Sentuhan Magis Bilal Indrajaya

Panggung Purnama Fasa Pertama Dibuka Dengan Sentuhan Magis Bilal Indrajaya

Festival muzik Panggung Purnama bakal membuka tirai edisi pertamanya dengan menampilkan penyanyi dan pencipta lagu tersohor dari Indonesia, Bilal Indrajaya, yang akan menghiburkan peminat di Zepp Kuala Lumpur pada 28 September 2025.

Dianjurkan oleh UdaraLaskhar, Panggung Purnama dilancarkan dengan tema fasa pertama, Main Kasar, yang menjanjikan persembahan penuh emosi dan tenaga dari figura muzik Nusantara yang semakin mendapat tempat di hati pendengar Malaysia.

Bilal Indrajaya dipilih sebagai penghibur utama bagi pembukaan konsert ini, yang turut digambarkan oleh penganjur sebagai ‘peluru perdana’ festival tersebut.

Menurut John Labu mewakili pihak penganjur, pemilihan Bilal adalah langkah tepat berdasarkan kekuatan karya serta hubungan erat yang telah terjalin antara Bilal dan peminat Malaysia.

Beliau berkata Bilal bukan sahaja memiliki identiti muzik yang kuat, malah sudah mempunyai pengikut setia di rantau ini.

“Kami percaya kepada magnet Bilal – daripada penampilan ke karya-karyanya yang membuat ramai peminat kecanduan. Penampilan sulung beliau di Panggung Purnama adalah sebagai tanda kami mendengar permintaan peminat,” kata John.

Bilal, yang mula dikenali menerusi lagu Biar pada tahun 2018, telah membina reputasi melalui pelbagai pentas festival ternama seperti BNI Java Jazz Festival 2024.

Namanya turut melonjak di Malaysia menerusi kerjasama muzik bersama Noh Salleh dalam lagu Niscaya serta kolaborasi bersama Romantic Echoes dalam lagu Ruang Kecil dan Yang Tercinta.

John turut menyatakan bahawa Bilal sangat sesuai untuk membuka tirai konsert ini memandangkan konsep dan perjalanan festival tersebut telah dirancang dengan teliti sejak sekian lama.

Pengumuman untuk barisan artis seterusnya bagi fasa kedua dan finale akan dibuat dalam masa terdekat menerusi saluran rasmi media sosial Panggung Purnama.

Bagi Bilal, 29, peluang untuk membuat persembahan di Malaysia disifatkan sebagai satu penghargaan besar dan beliau amat teruja untuk berpesta dengan peminat yang selama ini menyokong karya-karyanya.

“Panggung Purnama akan menjadi festival peribadi buat saya dan peminat yang telah mengikuti perjalanan seni saya sejak mula. Saya tidak sabar untuk memberikan pengalaman terbaik buat semua,” kata Bilal.

Tiket konsert kini boleh didapati menerusi laman sesawang www.ilassotickets.com. Harga tiket bermula dari RM179 hingga RM399 mengikut kategori yang ditawarkan.

Penganjur menyeru peminat untuk mendapatkan tiket seawal mungkin bagi mengelakkan kekecewaan, kerana sambutan terhadap konsert ini dijangka sangat menggalakkan.

Komen
Loading...