Ikuti Kami:

Pamungkas & Fugo Lengkapkan Malam Panggung Purnama 2025

Pamungkas & Fugo Lengkapkan Malam Panggung Purnama 2025

Panggung Purnama 2025 bakal menjadi malam penuh magis apabila dua nama besar, Pamungkas dan Fugo, disahkan menyertai barisan utama konsert bersama penyanyi bersuara emas, Bilal Indrajaya.

Penganjur UdaraLaskhar mengesahkan kehadiran Pamungkas dan Fugo sebagai pelengkap sempurna kepada konsep persembahan yang mengetengahkan karya-karya berjiwa, menyentuh dan penuh emosi.

Pamungkas, bintang solo dari Indonesia yang mencuri perhatian dengan lagu To The Bone, akan membuat kemunculan istimewa secara solo di pentas Zepp Kuala Lumpur.

Sementara itu, Fugo, kugiran Malaysia yang sedang melonjak naik, tampil membawa warna tersendiri dengan lagu-lagu hits mereka termasuk As Long As We Stay dan Lagu Balada Kala Hujan.

“Kami di UdaraLaskhar begitu teruja mengumumkan Pamungkas dan Fugo sebagai line-up kedua dan ketiga Panggung Purnama. Penampilan mereka pasti melengkapkan malam yang dijanjikan sebagai sebuah pengalaman magis buat para peminat,” kata John Labu, wakil penganjur.

Gabungan Pamungkas yang flamboyan, Fugo yang menenangkan serta Bilal Indrajaya yang berkarisma menjanjikan persembahan yang bukan hanya sekadar hiburan, tetapi satu pengalaman seni yang mendalam.

Menurut John, pemilihan ketiga-tiga pemuzik ini telah dirancang dengan teliti sejak awal, sejajar dengan konsep Panggung Purnama yang memberi ruang kepada muzik yang menyentuh perasaan dan membekas dalam jiwa penonton.

“Kami yakin persembahan mereka akan meninggalkan kesan mendalam dan memperkukuh jenama Panggung Purnama sebagai pentas berprestij untuk muzik berjiwa,” tambah John.

Peminat yang tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan malam istimewa ini boleh mendapatkan tiket yang ditawarkan pada harga antara RM179 hingga RM399 menerusi laman rasmi www.ilassotickets.com.

Panggung Purnama dijadual berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 28 September 2025 dan dijangka mengundang kehadiran peminat dari pelbagai latar usia yang mendambakan persembahan yang menyentuh jiwa.

Dengan barisan pemuzik yang kuat, karya yang melekat serta produksi yang dijanjikan intim dan penuh emosi, malam itu dijangka menjadi antara momen muzik paling berkesan tahun ini.

Komen
Loading...