IKLAN

Pakistan Benarkan Berjemaah Di Masjid Menjelang Ramadan

ISLAMABAD: Pakistan telah melonggarkan larangan berjemaah di masjid menjelang bulan Ramadan, namun akan memastikan langkah berjaga-jaga diambil bagi mengawal penularan COVID-19.

Pakistan yang merupakan negara kedua dengan jumlah rakyat umat Islam tertinggi di dunia telah melaksanakan perintah kawalan pergerakan sejak 1 April lalu yang hanya membenarkan tiga ke lima orang di masjid pada satu masa.

Kenyataan pada Sabtu itu dibuat susulan mesyuarat antara Presiden Arif Alvi dan beberapa pemimpin agama negara itu, kurang seminggu sebelum umat Islam menyaksikan permulaan bulan Ramadan.

“Masjid diberikan kebenaran bersyarat dengan mengikut langkah berjaga-jaga,” menurut kenyataan itu.

Berdasarkan panduan baharu, pelawat di masjid diwajibkan memakai topeng muka.

Jemaah disarankan untuk memastikan jarak sejauh 2 meter antara satu sama lain.

IKLAN

Setakat ini, Pakistan merekodkan 7,638 kes positif dan 143 kematian akibat koronavirus.

Pakar kesihatan beri amaran bahawa perhimpunan agama akan menimbulkan ancaman terbesar kepada infrastruktur kesihatan negara itu yang tidak mampu menampung rakyatnya seramai 200 juta orang.

Sebelum ini, kerajaan Pakistan digesa untuk melonggarkan larangan ke atas perhimpunan agama. Pertempuran turut tercetus antara jemaah masjid dan polis di Karachi.

Pada awal minggu ini, ulama terkemuka negara itu menegaskan bahawa mereka akan mengingkari sebarang perintah larangan berjemaah kerana ia merupakan ibadat wajib buat umat Islam.

Dalam masa yang sama, Perdana Menteri Imran Khan dalam satu perutusan khas pada Sabtu menjangka negara itu akan mencapai kemuncak jangkitan COVID-19 pada pertengahan Mei.

Jom like Facebook & follow Twitter mDaily bagi mendapatkan berita hangat dan terkini di seluruh dunia.

IKLAN