Paduka Cik Siti: ASWARA Angkat Kisah Raja Wanita Melayu ke Pentas Muzikal Mega
- oleh MDaily Editor
- 3 Dec 2025 10:37 pm
Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dengan kerjasama erat Persatuan Alumni ASWARA kini kembali menggegarkan persada seni negara dengan sebuah naskhah muzikal baharu, Teater Muzikal Paduka Cik Siti, yang menjanjikan persembahan berskala besar dan berimpak tinggi.
Pementasan yang akan berlangsung selama tiga hari dari 19 hingga 21 Disember 2025 di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Putrajaya, ini mengangkat kisah epik dan luar biasa seorang Raja wanita Melayu, Cik Siti Wan Kembang, yang bangkit mempertahankan maruah, keberanian, dan cintanya demi negeri.
Rektor ASWARA, Prof. Dr. Tan Awang Besar, menyatakan sudah tiba masanya untuk mengangkat seni kreatif ini dalam bentuk pementasan.
Beliau menekankan bahawa walaupun kisah Cik Siti Wan Kembang adalah legenda, tugas penting institusi tersebut adalah untuk mengangkat kisah zaman silam kepada zaman hari ini.

“Memang kita tidak ikut cerita Siti Wan Kembang sepenuhnya. Kita terjemahkan dalam bentuk persembahan. Dan sekurang-kurangnya dari segi kehebatan Cik Siti Wan Kembang itu dan peranan dia dalam konteks hubungan antara Siam dan Kuching dan Kelantan boleh kita angkat melalui persembahan begini,” jelas beliau.
Prof. Dr. Tan Awang Besar menambah, episod-episod yang dipersembahkan nanti akan memperlihatkan kehebatan Cik Siti Wan Kembang, terutamanya bagaimana beliau menangani “watak jahat” seperti Raja Siam, serta mengangkat kepahlawanan seorang Raja Wanita.
Beliau turut berharap pementasan ini dapat memperkenalkan watak ikonik seperti Cik Siti Wan Kembang dan Puteri Sadong kepada generasi muda.

Naskhah megah ini menyingkap ketokohan Cik Siti Wan Kembang, satu-satunya waris takhta Tanah Serendah Sekebun Bunga, yang terpaksa memikul amanah diraja.
Cerita ini fokus kepada perjuangan Paduka Cik Siti yang menolak pinangan raja-raja lain demi tugas, berdepan cabaran mempersoalkan kewibawaannya oleh pembesar sendiri, diancam oleh Siam, selain menundukkan kehendak hati dan perasaan akibat cinta yang didiamkan.
Pengarahnya, Che Kem, menyatakan bahawa produksi ini tidak boleh berpaksikan tradisional semata-mata, sebaliknya harus kontemporari, selaras dengan tuntutan khalayak hari ini. Namun, nafas tradisional itu tetap dikekalkan.

“Kita sering memperkatakan bahawa Cik Siti Wan Kembang ini adalah seorang srikandi. Tetapi tidak ada satu cerita, satu skrip, satu naskah yang membincangkan tentang Cik Siti Wan Kembang sebagai seorang srikandi,” katanya.
Beliau menambah, hal-hal kesaktian dan kebijaksanaan Cik Siti Wan Kembang sebagai pemimpin wanita di Kelantan akan diterokai dan diangkat dalam bentuk yang spektakular.
Che Kem menjanjikan ada beberapa elemen spektakular yang cuba diangkat di pentas, walaupun berdepan cabaran untuk mengubah suai Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin di Putrajaya menjadi pentas teater berskala besar.
Pementasan ini menggabungkan lakonan, muzik, tarian, dan estetika visual yang memukau.
Ia menampilkan barisan pelakon handal seperti penyanyi versatil Asmidar, Taqim Zaki, Dr. Norzizi Zulkifli, Shahrul Mizad, Nesa Idrus, Serra Kamal, Zizi Hazirah, dan ramai lagi.
Orang ramai dijemput menyaksikan kisah pengorbanan dan kepimpinan wanita legenda ini.
Tiket boleh mula didapati melalui laman sesawang rasmi di https://www.cloudjoi.com/shows/4822-teater-muzikal-paduka-cik-siti dengan harga antara RM 40.00 hingga RM 150.00.




