Ikuti Kami:

Paduan vokal Ary Klangit, Dina Rijeu Dalam ‘Kau Bersama Dia’

Paduan vokal Ary Klangit, Dina Rijeu Dalam ‘Kau Bersama Dia’

Kumpulan pop rock popular, Klangit, kembali mewarnai persada muzik tanah air menerusi pelancaran single terbaharu mereka berjudul “Kau Bersama Dia”, sebuah karya yang mempertaruhkan gandingan vokal mantap antara vokalisnya, Ary Klangit dan penyanyi jemputan, Dina Rijeu.

Lagu tersebut yang diterbitkan di bawah label Nova Music, membawa naratif mendalam mengenai sisi rapuh perasaan manusia merangkumi aspek kehilangan, penerimaan, dan keikhlasan dalam melepaskan seseorang yang dicintai.

Klangit dalam satu kenyataan berkata, pemilihan Dina Rijeu sebagai rakan kolaborasi bertujuan memberi dimensi penceritaan yang lebih menyeluruh menerusi gabungan perspektif suara lelaki dan wanita.

“Kehadiran tona vokal Dina yang penuh rasa dipadankan dengan karakter vokal Ary menghasilkan satu keseimbangan yang memperkayakan lagi pengalaman mendengar, sekali gus memberi impak emosi yang lebih berkesan kepada audiens,” menurut kenyataan itu.

Menariknya, naskhah melankolik ini bukan sekadar karya imaginasi, sebaliknya mendapat inspirasi daripada pengalaman sebenar yang dilalui sendiri oleh ahli kumpulan tersebut serta kisah masyarakat di sekeliling mereka.

Dari sudut teknikal, proses pembikinan “Kau Bersama Dia” mengambil masa beberapa bulan bagi memastikan susunan muzik yang berlapis dan lirik yang ringkas namun puitis dapat disampaikan dengan kualiti terbaik.

Selain kekuatan audio, pelancaran single ini turut dilengkapi dengan muzik video rasmi yang menggunakan pendekatan visual minimalis. Ia memberi tumpuan khusus kepada ekspresi wajah dan bahasa tubuh bagi menterjemahkan mesej utama lagu tersebut tanpa elemen yang berlebihan.

“Kau Bersama Dia” kini boleh didapati di semua platform penstriman digital utama bermula 1 Mei lepas, manakala muzik video rasmi telah dilancarkan di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’.