Ikuti Kami:

Padangs on Wheels: Evolusi ‘Food Truck’ ke Restoran Estetik, Kekal Resipi Tiga Generasi

Padangs on Wheels: Evolusi ‘Food Truck’ ke Restoran Estetik, Kekal Resipi Tiga Generasi

Bermula hanya dengan operasi trak makanan atau food truck pada tahun 2014, jenama kulinari tempatan, Padangs on Wheels, kini membuktikan keupayaan perusahaan bumiputera apabila berjaya berkembang kepada empat rangkaian restoran estetik di sekitar Lembah Klang.

Meskipun tampil dengan imej moden dan kontemporari, kekuatan utama jenama ini terletak pada keutuhan resipi tradisi tiga generasi yang dibawa khas dari Sumatera, Indonesia, namun diberikan sentuhan ‘Malaysian’ agar sesuai dengan selera rakyat tempatan.

Menurut Pengarah Operasi dan Kewangan Padangs on Wheels, Sukinah Dato’ Zul atau lebih dikenali sebagai Nina, mereka merupakan perintis yang memperkenalkan konsep nasi padang di atas trak makanan di Malaysia suatu ketika dahulu.

Pengarah Operasi dan Kewangan Padangs on Wheels, Sukinah Dato’ Zul.

“Kami bermula dengan trak makanan. Ketika itu, kami adalah yang pertama di Malaysia membawa menu nasi padang secara mobil. Namun, selepas dua ke tiga tahun, pelanggan mula meminta kami membuka restoran kerana faktor keselesaan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Berkat sambutan yang menggalakkan, mereka menukar dapur pusat (central kitchen) kecil menjadi ruang makan sebelum berpindah ke restoran yang lebih selesa dan kini memiliki cawangan di Seksyen 13 Shah Alam, Subang Bestari, Damansara Utama, dan Kuala Lumpur.

Salah satu faktor yang membezakan Padangs on Wheels dengan pesaing lain adalah keupayaan mereka mengimbangi kepekatan rempah atau ‘bumbu’ agar tidak terlalu kuat sehingga menyerupai rasa jamu, yang lazimnya terdapat pada resipi asli Indonesia.

“Resipi ini dikendalikan oleh kakak saya, yang sangat memahami tekak orang Malaysia. Kami mengekalkan penggunaan bahan dan bumbu dari Indonesia, namun tahap kepedasan dan kepekatan rempah dilaraskan melalui proses R&D yang panjang bersama maklum balas pelanggan,” tambah Nina lagi.

Antara menu yang menjadi ‘killer products’ dan sering menjadi kegilaan pelanggan termasuklah Daging Dendeng, Rendang Minang, Gulai Tunjang dan Sambal Hijau dan Merah (100 peratus menggunakan cili hidup tanpa campuran cili kering)

Pengarah Hal Ehwal Undang-undang dan Strategi Media Sosial, Farrah Adeeba, menjelaskan di sebalik kenaikan kos bahan mentah, Padangs on Wheels kekal dengan prinsip tidak memotong kos (shortcut) dalam penyediaan makanan.

Pengarah Hal Ehwal Undang-undang dan Strategi Media Sosial, Farrah Adeeba.

“Jika resipi memerlukan 30 ulas bawang, kami tetap guna 30 ulas walaupun harga bawang naik. Kami mahu pelanggan merasai kemanisan dan kewangian yang sama sejak tahun 2014 sehingga kini,” tegas Nina.

Selain itu, Padangs on Wheels kini menjadi pilihan utama bagi tempahan majlis perkahwinan dan acara korporat. Menggunakan konsep food truck yang ikonik atau hidangan katering lengkap dengan hiasan (deco) eksklusif, mereka menawarkan pakej yang fleksibel dan kompetitif.

“Catering kami sangat popular kerana kami bukan sahaja menyediakan makanan, malah kami titik beratkan aspek estetika dan persembahan hidangan. Ini memberikan pengalaman ‘Nasi Padang Premium’ kepada tetamu majlis,” jelas Nina.

Menurut Farrah Adeeba, penglibatan generasi muda menjadi pemacu utama kepada transformasi jenama mereka, terutamanya dalam memberi sentuhan moden pada aspek hiasan dalaman dan memperkukuh kehadiran digital.

Bagi orang ramai yang ingin merasai sendiri keunikan hidangan atau membuat tempahan, boleh hubungi talian berikut: Shah Alam (Seksyen 13): 017-7051280, Subang Bestari: 018-7874988, Damansara Utama: 011-19037672, Kuala Lumpur: 019-8819190 dan untuk tempahan Katering & Dekorasi: 019-2365727 / 018-7874988.

Operasi restoran bermula seawal jam 7.30 pagi hingga 7.00 malam setiap hari, menyediakan lebih 40 pilihan menu termasuk set sarapan ‘Big Breakfast’ dan hidangan killer products seperti Daging Dendeng serta Gulai Tunjang.