Ikuti Kami:

Padah Masak Di Stesen Minyak, 4 Individu Didenda RM500

Padah Masak Di Stesen Minyak, 4 Individu Didenda RM500

KUALA LUMPUR – Empat individu masing-masing didenda RM500 selepas mengaku salah memasak menggunakan dapur gas di kawasan stesen minyak di Genting Highlands.

Kesemua mereka membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nadratun Naiem Zainan di Mahkamah Bentong, hari ini.

Keempat-empat tertuduh terdiri daripada peniaga kedai makan, Fadhli Zil Ikram Sazalin Isran, 24; Pegawai Khidmat Pelanggan, Nurfatin Irdina Shahrulnizam 24; Pembantu Pergigian, Nur Anis Salleh 24 dan Ejen Hartanah, Nur Azira Azman, 23.

Ketika ditanya, Nurfatin memberitahu aktiviti berkenaan dilakukan secara spontan selepas masing-masing gagal mencari lokasi lain yang lebih sesuai.

Fadhli pula memberi alasan kawasan yang dijadikan lokasi memasak itu jauh dari nozel minyak yang ada di stesen berkenaan.

Sinar Harian yang memetik kertas pertuduhan melaporkan, keempat-empat mereka dalam mencapai niat bersama telah bertindak memasak menggunakan dapur gas di dalam kawasan stesen minyak terbabit yang merupakan perubahan gopoh hingga membahayakan keselamatan diri orang lain.

Kesalahan itu dilakukan sekitar jam 1.30 pagi di stesen minyak Petron Taman Cendawan dekat Genting Highlands, 12 Mei lalu.

Kesemua mereka disabitkan dengan hukuman di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda hingga RM500 atau kedua-duanya.

Keempat-empat tertuduh turut memohon denda yang rendah ketika proses rayuan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid meminta hukuman setimpal diberikan kepada mereka sebagai pengajaran.

Kesemua mereka menjelaskan denda berkenaan.

Sumber
Ge
Komen
Loading...