PETALING JAYA, — Pengasas Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) Datuk Dr P S Nathan mengumumkan untuk melepaskan jawatannya sebagai Presiden MTBC hari ini, selepas 50 tahun menerajui badan sukan itu.
Beliau ketika mengumumkan perkara itu hari ini berkata jawatan itu akan dipangku timbalannya Datuk Mohamad Najeeb Abdullah, sehingga Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Oktober ini.
“Saya berbesar hati memberikan sepatah dua kata terutama pada malam ini kerana ia merupakan ucapan terakhir saya sebagai presiden.
“Sudah 50 tahun mengharungi susah payah dan kegemilangan. Bagi yang akan menggantikan selepas ini, juga akan menghadapi perkara sama,” katanya pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun MTBC ke-59 yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Nathan merupakan pengasas MTBC bermula 1974 dan menjadi presiden sejak itu.
Sementara itu, Hannah dalam ucapannya mengumumkan suntikan dana menerusi peruntukan menteri sebanyak RM50,000 kepada MTBC untuk merancang dan melaksanakan persediaan peralihan persatuan itu.
“Sebagai tanda sokongan, saya mengakhiri ucapan di sini dengan mengumumkan RM1,000 untuk setiap tahun kewujudan persatuan ini di Malaysia. Jadi, sebanyak RM50,000 untuk MTBC melakukan aktiviti, merancang dan melaksanakan semua yang perlu dilakukan.
“Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Nathan atas segala sumbangan diberikan dan berharap anda menikmati waktu persaraan,” katanya.
— BERNAMA