Ikuti Kami:

P. Radhi Gamit Memori Raya Klasik Dengan Single ‘Raya Bersama’

P. Radhi Gamit Memori Raya Klasik Dengan Single ‘Raya Bersama’

Penyanyi yang terkenal dengan kemerduan suara nostalgia, P. Radhi, kembali mewarnai industri muzik tanah air menjelang sambutan Aidilfitri kali ini menerusi pelancaran single terbaharu bertajuk “Raya Bersama”.

Karya yang diterbitkan di bawah naungan label Luncai Emas itu mengangkat tema nostalgia dan kenangan lama, sekali gus menggamit memori pendengar terhadap kemeriahan suasana hari raya era klasik yang sering dirindui.

P. Radhi atau nama sebenarnya, Muhammad Radhi Ab Rahman berkata, lagu ini bukan sekadar sebuah naskhah hiburan, sebaliknya ia merupakan satu naskhah yang membawa pendengar mengimbau kembali keindahan tradisi Syawal.

“Saya harap lagu ini bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi dapat mengeratkan lagi ukhwah dan keceriaan sesama kita di hari lebaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Lirik dan melodi “Raya Bersama” merupakan hasil ciptaan bakat baharu, Firdaus Rashid. Ia menitikberatkan elemen kemaafan dan ajakan untuk membuka lembaran baharu dengan jiwa yang bersih, selari dengan tuntutan sambutan Aidilfitri.

Juara Bintang P. Ramlee Kebangsaan 2016 ini terus konsisten mengekalkan identiti nyanyian yang mirip seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, namun tetap menyuntik karakter peribadinya yang tersendiri agar karya tersebut kekal relevan buat generasi muda.

Penghasilan “Raya Bersama” ini menyusul selepas kejayaan single solonya, “Gadis Chantek” ciptaan Datuk M. Nasir pada tahun 2024, serta projek rakaman semula lagu ikonik seperti “Tiara” dan “Suatu Masa” pada 2022.

Luncai Emas bertindak sebagai pengedar digital dan pentadbir hak cipta bagi memastikan karya ini sampai ke serata platform. Dengan susunan muzik yang menangkap emosi, lagu ini dijangka bakal menjadi antara pelengkap repertoire lagu raya yang bertahan lama.

Bagi peminat yang ingin merasai sendiri aura nostalgia ini, “Raya Bersama” kini sudah boleh dinikmati di semua platform penstriman digital utama serta saluran YouTube rasmi Luncai Emas.

Loading...