Ikuti Kami:

Orang Selangor Dibenar Nikah “Online” Mulai Hari Ini

Orang Selangor Dibenar Nikah “Online” Mulai Hari Ini

SHAH ALAM: Majlis akad nikah di Selangor dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh melakukannya melalui sidang video mulai hari ini, dengan syarat mendapat kelulusan khas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad dalam satu kenyataan memaklumkan kebenaran itu diberikan dengan syarat bakal pengantin sudah mendapat kelulusan khas jabatan itu.

Beliau berkata, satu tatacara terperinci serta ketetapan baharu yang strategik disediakan bagi memastikan pelaksanaan majlis itu menepati hukum, dilaksanakan dengan standard yang wajar, mudah difahami serta diikuti oleh pasangan yang terbabit kerana kaedahnya lain daripada kebiasaan.

“Sebelum ini, semua majlis akad nikah dalam tempoh PKP ditangguhkan selepas lima jurunikah JAIS terpaksa dikuarantin kerana dikesan ada kontak dengan individu positif COVID-19 semasa bertugas (menikahkan pasangan pengantin).

“Pada 13 April lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan untuk JAIS memberikan kelulusan khas kepada pasangan yang tetap ingin bernikah dalam tempoh PKP ini.

“Justeru, JAIS menguatkuasakan akad nikah secara kebenaran khas mulai hari ini melalui lima langkah yang ditetapkan,” katanya.

Berdasarkan tatacara berkenaan, Pengarah JAIS akan memberi kebenaran khas itu setelah mendapat permohonan lengkap dan pemohon diberi penerangan mengenai proses nikah.

Pemohon yang mendapat kebenaran khas itu akan dimaklumkan mengenai tarikh pernikahan dan mereka akan dinikahkan melalui sidang video.

Pemohon kemudiannya perlu hadir ke Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) untuk mengemukakan slip perakuan nikah sementara bagi mendapatkan Surat Perakuan Nikah Negeri Selangor mengikut Seksyen 26 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 selepas PKP tamat.

Pada 18 April lalu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melaksanakan majlis akad nikah bagi sepasang pengantin secara sidang video.

Majlis akad nikah secara sidang video itu yang pertama itu membabitkan pasangan Muhammad Don Haadi Don Putra dan Nahdatul Aishah Mohd Shariff.

Sumber : Berita Harian

Komen
Loading...