Operasi Banteras Kegiatan Mat Rempit di Elmina: Sime Darby Property Komited Pastikan Keselamatan Kawasan
- oleh Mohd Indera
- 4 minggu lalu
Sime Darby Property dalam kenyataan media memaklumkan pihaknya memandang serius peningkatan kegiatan Mat Rempit yang semakin membimbangkan, terutama pada hujung minggu dan cuti umum di kawasan Elmina West Township.
Aktiviti ini dilihat semakin berleluasa dan menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk setempat.
Sebagai langkah menangani isu ini, Sime Darby Property kini bekerjasama erat dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam melalui satu operasi khas yang dinamakan “Operasi Banteras.”
Operasi ini bertujuan mengekang kegiatan Mat Rempit di kawasan tersebut dengan penglibatan penguatkuasaan ketat pihak polis.
Polis tambahan telah ditempatkan di Elmina untuk memperhebat rondaan di kawasan panas dan akan terus mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang terlibat.
Sime Darby Property memberi jaminan bahawa usaha memerangi kegiatan Mat Rempit ini akan berterusan sepanjang tahun demi keselamatan dan ketenteraman komuniti Elmina.
Tinjauan di media sosial menunjukkan rata-rata penduduk turut meluahkan kebimbangan mereka tentang keselamatan di kawasan ini.
Seorang pengguna X (Twitter), @EdhamOthman, turut berkongsi kebimbangannya tentang gangguan bunyi yang semakin teruk pada hujung minggu akibat aktiviti lumba haram oleh kumpulan Mat Rempit.
“Setiap hari Sabtu dan Ahad, mat dan minah rempit ini akan melepak di bulatan besar di Elmina itu. Mereka akan meletakkan motosikal mereka menghadap jalan, lelaki dan perempuan ‘sama naik’,” tulisnya.
Menurutnya lagi, harga rumah di Elmina yang rata-ratanya mencecah sejuta ringgit membuatkan penduduk merasa kecewa dengan keadaan tersebut. “Mana tak bising penduduk beli rumah mahal-mahal tetapi rasa macam duduk litar lumba,” tambahnya.
Seorang lagi warga maya, @Effin^Hykal, yang juga penduduk di Elmina, turut meluahkan rasa kesal dengan kehadiran sekumpulan Mat Rempit tersebut.
“Kumpulan Mat Rempit tersebut kerap membuat bising dan melakukan aksi berbahaya dengan berlumba motosikal di jalan-jalan sekitar kawasan perumahan Elmina.
Pernah sekali balik kerja nampak mereka melakukan aksi seperti wheelie, zig zag dan menunggang dalam keadaan laju sambil menundukkan badan,” dakwanya.
Beliau turut menyatakan bahawa aksi tersebut bukan sahaja membahayakan diri sendiri tetapi juga pengguna jalan raya lain.
“Tahun ini sahaja dah ada beberapa kes kemalangan maut yang melibatkan penunggang motosikal di kawasan ini,” tambahnya lagi.
Penduduk kawasan tersebut turut diseru agar sentiasa berwaspada dan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan keamanan dan keselamatan terus terjaga.