Ikuti Kami:

Open Day DSTA Putrajaya: Langkah Proaktif Dekati Komuniti

Open Day DSTA Putrajaya: Langkah Proaktif Dekati Komuniti

Down Syndrome Thrive Academy (DSTA) Putrajaya mengambil langkah proaktif dalam memperkasakan golongan istimewa melalui penganjuran Hari Terbuka (Open Day) yang diadakan di Chancery Place, Presint 15, di sini, hari ini.

Program yang diadakan bersempena Sambutan Hari OKU Sedunia 2025 itu bertujuan merapatkan jurang antara komuniti setempat dengan warga Sindrom Down, selain memperkenalkan model pendidikan vokasional yang bakal beroperasi secara rasmi pada Januari depan.

Pengerusi DSTA dan PDK Putrajaya, En. Ruslan Bin Wagiman berkata, penubuhan akademi ini merupakan kesinambungan atau peluasan daripada pusat sedia ada di Presint 11 yang sebelum ini lebih memfokuskan kepada intervensi awal kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun.

Pengerusi DSTA dan PDK Putrajaya, En. Ruslan Bin Wagiman.

“Di DSTA, kita memfokuskan kepada pelatih berusia tujuh tahun ke atas, khususnya bagi mereka yang telah tamat prasekolah di PDK dan sedang mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

“Matlamat utama kami adalah untuk menyediakan latihan kemahiran atau vokasional seperti bakeri, anyaman, dan lukisan. Kita mahu melatih mereka supaya lebih berdikari dan akhirnya mampu menyumbang kepada komuniti, tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa selamanya,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.

Down Syndrome Thrive Academy (DSTA) Putrajaya telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Lumpur, Puan Noraziah Binti Chemok Ali (tengah).

Majlis turut dihadiri oleh beberapa tetamu kenamaan (VIP) termasuk wakil daripada badan korporat serta sukarelawan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Mengulas lanjut mengenai operasi DSTA, Ruslan menjelaskan bahawa pusat itu kini mempunyai kira-kira 20 orang pelatih berdaftar dengan sasaran peningkatan sehingga 30 orang dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa cabaran utama bagi badan bukan kerajaan (NGO) seperti mereka adalah faktor kewangan yang tidak konsisten.

Pengerusi DSTA dan PDK Putrajaya, En. Ruslan Bin Wagiman (dua dari kiri) menyerahkan cenderamata kepada Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Lumpur, Puan Noraziah Binti Chemok Ali (dua dari kanan).

“Sebagai pusat jagaan di bawah persatuan, kami tidak menerima geran tetap daripada JKM sepertimana PDK. Buat masa ini, operasi kami bergantung sepenuhnya kepada yuran bulanan sebanyak RM300 serta sumbangan daripada orang awam dan pihak korporat.

“Oleh itu, melalui program hari terbuka ini, kami berharap dapat menarik lebih banyak rakan strategik dan syarikat korporat untuk tampil menyalurkan bantuan melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka,” tambahnya.

Program yang berlangsung sehingga jam 3.00 petang itu turut dimeriahkan dengan Majlis Graduasi Pelajar DSTA, sesi interaksi sosial bersama masyarakat, serta booth promosi perkhidmatan bagi memberi pendedahan kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak Sindrom Down di sekitar Putrajaya.

Bagi memastikan kualiti pembelajaran, DSTA turut mengadaptasi silibus dan modul pembelajaran daripada Persatuan Sindrom Down Malaysia (PSDM) yang telah mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam bidang berkenaan.

Komen
Loading...