IKLAN

Op Merpati: Tekong Tempatan Dan 24 PATI Ditahan Ketika Cuba Seludup Keluar

Seorang tekong warga tempatan bersama 24 pendatang tanpa izin warga Indonesia telah ditahan Pasukan Rejimen ke-61 Artileri Diraja (61 RAD) dalam satu operasi di kawasan Tanjung Ayam,Sungai Rengit, Johor, malam tadi.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, Kem Terendak Melaka dalam kenyataan berkata kesemua ditahan ketika dalam perancangan pulang ke Indonesia semasa pasukan itu mengadakan rondaan keselamatan sekitar pukul 10.30 malam.

"Menerusi maklumat dari anggota petugas Polis Marin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkenaan pergerakan mereka, kumpulan anggota 61 RAD diketuai Kapten Amirul Zubir Mohammad Naim telah bergegas ke tempat itu.

"Seramai 21 lelaki serta tiga wanita warga Indonesia telah ditahan ketika cuba balik ke negara asal bersama seorang tekong lelaki warga tempatan yang berperanan membawa mereka," menurut kenyataan itu.

IKLAN

Sebuah kenderaan jenis Hyundai Starex dipercayai digunakan bagi membawa kesemua pendatang tanpa izin berkenaan turut dirampas dalam Op Merpati 1, di sektor Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged) itu.

Kenyataan itu berkata kesemua tangkapan dibawa ke Balai Polis Bandar Penawar bagi tindakan susulan selain diarah menjalani pemeriksaan saringan COVID-19 di Klinik Kesihatan Bandar Penawar pada pagi ini.

Jom like Facebook & follow Twitter mDaily bagi mendapatkan berita hangat dan terkini di seluruh dunia.

IKLAN