Ikuti Kami:

‘OOHAA RAYA’ Lagu Raya Ibu-Anak Pertama

‘OOHAA RAYA’ Lagu Raya Ibu-Anak Pertama

Lagu raya terbaru berjudul OOHAA RAYA menjadi perhatian ramai apabila ia bukan sahaja menggabungkan elemen muzik tradisional dan moden, tetapi juga menampilkan duet pertama antara ibu dan anak dalam industri muzik tanah air.

Sharifah Zarina dan anak perempuannya, Athalia, menjadikan lagu ini lebih istimewa dengan menyuntik elemen kekeluargaan dalam suasana perayaan.

Diterbitkan oleh Faithful Music dengan kerjasama Malika Entertainment, OOHAA RAYA menggabungkan melodi keroncong dengan rentak reggae yang segar.

Lagu ini merupakan hasil ciptaan komposer Eugene Lai dan Ja’a, manakala liriknya pula ditulis oleh Ja’a, Eugene Lai, Sharifah Zarina, dan Athalia sendiri.

Menurut komposer Eugene Lai, idea asalnya adalah untuk mencipta lagu raya dengan tempo perlahan berunsurkan keroncong.

Namun, setelah berbincang dengan Sharifah Zarina dan Athalia, mereka sepakat untuk mempercepatkan rentak dan menambahkan unsur reggae, menjadikan lagu ini lebih moden dan sesuai untuk semua peringkat umur.

“Gabungan elemen keroncong dan reggae ini memberikan sentuhan unik kepada lagu raya, menjadikannya lebih segar tetapi masih mengekalkan elemen tradisional,” kata Eugene Lai.

Sharifah Zarina turut berkongsi bahawa judul OOHAA RAYA diambil daripada perkataan dalam bahasa Iban yang bermaksud ‘Hello’ atau ‘Hai’. Sebagai anak kelahiran Sarawak, beliau ingin menyelitkan unsur budaya negeri asalnya dalam lagu ini.

Athalia mengakui bahawa pengalaman berduet dengan ibunya memberikan cabaran tersendiri, namun pada masa yang sama mengeratkan hubungan mereka.

“Bekerja dengan mama memang seronok, tetapi ada juga saat-saat kami berbeza pendapat. Namun, akhirnya kami berjaya mencari kata sepakat dan menjayakan lagu ini dengan baik,” katanya.

Untuk menjadikan pengalaman ini lebih menarik, OOHAA RAYA turut hadir dengan enam episod siri web khas yang dikongsi di akaun TikTok rasmi Sharifah Zarina (@realsharifahzarina) dan Athalia (@officialathalia).

Siri web ini menggambarkan hubungan ibu dan anak dalam suasana hari raya, disertai unsur komedi yang menghiburkan.

Lagu OOHAA RAYA telah dilancarkan secara rasmi pada 14 Mac 2025 di semua platform penstriman muzik seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube.

Sementara itu, video muzik rasmi lagu ini akan mula ditayangkan di saluran YouTube Faithful Music pada hari ini, jam 5.30 petang.

Dengan gabungan muzik tradisional dan moden serta konsep ibu dan anak yang unik, OOHAA RAYA diharapkan dapat memberi nafas baru kepada lagu-lagu raya dan menjadi pilihan utama pendengar sepanjang musim perayaan ini.

Komen
Loading...