Baru-baru ini, tular di media sosial tentang individu yang menggunakan helah untuk mendapatkan wang dengan berpura-pura menjadi Orang Kurang Upaya (OKU) bagi tujuan meminta sedekah. Fenomena ini menunjukkan betapa ada segelintir orang yang mengambil jalan pintas untuk mencari pendapatan.
Sebuah video yang dimuat naik oleh seorang pengguna di platform X menunjukkan seorang lelaki berkopiah duduk di atas wheelchair dan berpura-pura meminta sedekah.
Dalam video tersebut, jelas kelihatan lelaki itu berlakon sebagai OKU, sedangkan dia sebenarnya sihat dan boleh berjalan seperti orang biasa.
Lebih mengejutkan, lelaki tersebut dilihat mengemas sendiri wheelchair yang digunakannya dan meletakkannya ke dalam but kereta Alza, yang dipercayai miliknya.
Tindakan ini mengundang kemarahan ramai. Malah, ramai netizen menyatakan bahawa insiden ini menyebabkan mereka berasa ‘serik’ untuk memberikan bantuan kepada peminta sedekah, kerana bimbang akan ditipu.
Mereka meluahkan rasa marah dan kecewa terhadap tindakan lelaki tersebut yang memanfaatkan keadaan dengan berpura-pura menjadi OKU demi meraih simpati orang ramai.