NYAWA By Black Hanifah: Istimewa Untuk Peminat Setia 26 Julai Ini
- oleh Mohd Indera
- 11 Jul 2025 1:38 pm

Penyanyi berjiwa besar, Black Hanifah, bakal mendedikasikan sebuah persembahan istimewa buat para peminat setianya menerusi konsert bertajuk “NYAWA By Black Hanifah” yang akan berlangsung pada Sabtu, 26 Julai 2025 di Setia City Convention Centre, dari jam 7 malam hingga 11 malam.
Dianjurkan bersempena ulang tahun ke-17 penglibatannya dalam industri muzik tempatan, konsert ini menjadi tanda penghargaan eksklusif buat peminat yang tidak pernah jemu menyokong kerjayanya sejak awal kemunculan beliau.
“NYAWA” dipilih sebagai tema kerana ia mewakili denyut nadi perjuangan seni Black yang terbina atas kasih peminat, iringan media serta sokongan penaja yang setia.
“Malam ini adalah tentang penghargaan. Buat semua yang percaya, yang hadir di setiap fasa dari awal sampai hari ini. Ini untuk mereka,” kata Black Hanifah.
Penonton bakal disajikan dengan lagu-lagu ikonik daripada katalog muzik beliau yang akan dipersembahkan dengan susunan khas.
Persembahan ini juga akan menjadi ruang untuk Black berinteraksi lebih dekat dengan peminat, menyampaikan kisah di sebalik setiap lagu dan fasa hidupnya sebagai anak seni.
Sebagai simbol penghargaan, satu segmen istimewa akan diperuntukkan bagi mengiktiraf sokongan peminat tegar, rakan media dan penaja yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan Black Hanifah sepanjang 17 tahun berkarya.
Tiket konsert ditawarkan dalam tiga kategori, dengan harga bermula dari RM120 hingga RM200. Kategori VVIP (Hijab Rindu) telah pun habis dijual, manakala kategori VIP (Sofea Jane) dan Gold (Teman Pengganti) masih boleh didapati.
Tiket boleh dibeli secara dalam talian melalui laman rasmi iLassoTickets.
Konsert ini bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi merupakan momen peribadi dan penuh emosi antara Black dan para penyokongnya yang selama ini menjadi ‘nyawa’ kepada setiap langkah perjalanan seninya.
“Akhir sekali, ‘NYAWA’ adalah untuk semua yang menjadi sebahagian daripada perjalanan ini. Jumpa anda di sana,” ujar beliau.
“NYAWA By Black Hanifah” dijangka menarik penyertaan ratusan peminat dari seluruh negara, menjadikannya antara persembahan paling bermakna tahun ini.