
Tiada Raya tanpa juadah istimewa! Rocketfuel Entertainment mempersembahkan lagu Raya bertemakan makanan yang pasti menceriakan suasana, “Nyam Nyam Ketupat”, menampilkan gandingan hebat Wani Kayrie, Dinda Dania, Missalvy, dan Zizan Razak.
Dengan lirik yang mencuit hati serta melodi yang catchy, lagu ini dijangka menjadi kegemaran ramai sepanjang musim perayaan.
Tidak sekadar sebuah lagu, “Nyam Nyam Ketupat” juga memperkenalkan tarian unik yang dijangka tular di media sosial, menjadikannya lebih menarik dan interaktif untuk peminat.
Rakaman muzik video (MV) untuk lagu ini turut menampilkan suasana meriah dengan elemen makanan tradisional, pakaian berwarna-warni, dan tarian yang menceriakan. Wani Kayrie, yang turut menyanyikan lagu ini, berkongsi pengalamannya sepanjang proses rakaman.
“Saya sangat seronok ketika merakamkan lagu ini, lebih-lebih lagi semasa penggambaran muzik video. Kami bukan sahaja menyanyi, tetapi juga menari dengan rutin yang comel dan mudah diikuti. Paling mencuit hati apabila melihat Zizan Razak menari! Saya yakin ramai yang akan menyukai lagu ini dan menyertai ‘trend’ tarian Nyam Nyam Ketupat nanti,” katanya.
Berbanding lagu-lagu Raya biasa yang lebih bernostalgia, “Nyam Nyam Ketupat” memberikan sentuhan moden dengan elemen humor dan keceriaan, menjadikannya sesuai untuk semua peringkat umur.
Melodi yang rancak serta lirik yang mudah dihafal menjadikan lagu ini antara yang paling dinantikan untuk dimainkan sepanjang Aidilfitri.
Lagu “Nyam Nyam Ketupat” kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital utama seperti Spotify, Joox, Apple Music, dan YouTube Music. Jangan lupa juga untuk menonton muzik video rasmi yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Selamat menyambut Ramadan dan Aidilfitri dengan penuh keceriaan! #NyamNyamKetupat #LaguRayaMestiDengar