Nyalafest 2024: Gabungan Muzik Malaysia dan Indonesia di Bukit Jalil
- oleh Mohd Indera
- 3 minggu lalu
Festival muzik Nyalafest 2024 bakal menggegarkan Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dengan gabungan artis terkenal dari Malaysia dan Indonesia.
Acara yang dianjurkan oleh RF3 Entertainment dengan kerjasama Wolfstrike Brothers dan Neptunes Presents ini akan menyaksikan lapan artis terkenal beraksi di atas satu pentas.
Barisan artis Indonesia yang bakal memeriahkan festival ini termasuk Feby Putri, Pamungkas, Bernadya, Diskoria, Romantic Echoes, Bilal Indrajaya, dan Fugo.
Dari Malaysia, Noh Salleh akan beraksi bersama kumpulan Restoe Iboe, menjadikan festival ini pertemuan muzik istimewa antara dua negara serumpun.
Ketua Pegawai Eksekutif RF3 Entertainment, Muhammad Nashreen Syazwan Nazeri, berkata pihaknya amat berbangga dapat menghimpunkan nama-nama besar dari kedua-dua negara.
“Pasukan kreatif kami bertungkus lumus untuk memastikan festival ini menampilkan artis terbaik. Lagu-lagu mereka juga mendominasi carta muzik dan dekat di hati peminat,” katanya.
Muhammad Nashreen turut mendedahkan bahawa setiap artis kini sedang giat membuat persiapan bagi memberikan persembahan paling hebat, namun senarai lagu yang akan dipersembahkan dirahsiakan sehingga hari acara.
Berkongsi tentang pemilihan Noh Salleh sebagai wakil Malaysia, beliau menambah,
“Noh sudah beberapa kali bekerjasama dengan penganjur dan persembahannya sentiasa mendapat sambutan luar biasa. Dengan Restoe Iboe sebagai iringan, persembahan kali ini pasti membawa kelainan kerana Noh biasanya tampil solo.”
Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dipilih sebagai lokasi festival kerana mampu menampung lebih 15,000 penonton.
“Pintu stadium akan dibuka mulai jam 2 petang, dan set pertama persembahan akan bermula pada jam 3 petang,” kata Muhammad Nashreen.
Menurutnya lagi, tiket festival telah terjual lebih 60 peratus sejak penjualannya bermula pada 6 September lalu, dan jumlah itu dijangka terus meningkat menjelang hari acara.
Tiket boleh dibeli melalui laman web myticketempire. Pilihan pembayaran secara ansuran juga disediakan menerusi Atome.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Nyalafest 2024, pertemuan epik muzik Malaysia-Indonesia, hanya di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 30 November ini!