Nuri Terbang Malam: Karya Klasik Melayu Terbang Lagi Dengan Sentuhan Moden
- oleh Mohd Indera
- 1 minggu lalu
Karya klasik Melayu yang hampir dilupakan, “Nuri Terbang Malam”, kini bernafas semula dengan sentuhan moden melalui vokal ikonik Dato’ M. Nasir.
Lagu ini, yang dipercayai sebagai rakaman lagu Melayu pertama pada tahun 1903 oleh Gramophone Company, dibawa kembali ke pentas muzik dengan interpretasi baharu yang mengekalkan keaslian sambil merentasi sempadan era.
“Nuri Terbang Malam” pada asalnya dinyanyikan oleh Qasim, seorang penyanyi Wayang Semarang dari Pulau Pinang. Lagu ini dirakam di Singapura dengan campuran elemen muzik tradisional India dan Timur Tengah, menggambarkan kepelbagaian budaya Nusantara.
Kisah cinta yang abadi dalam liriknya disampaikan melalui simbolisme burung Nuri yang mencari di malam gelap, menjadikan lagu ini relevan merentas generasi.
Diterbitkan oleh Luncai Emas, versi baru ini menampilkan Dato’ M. Nasird dengan vokalnya yang penuh ekspresi dan susunan muzik yang lebih dinamik, beliau menghidupkan kembali warisan lagu ini untuk generasi baharu.
“Nuri Terbang Malam adalah sebahagian daripada sejarah muzik kita, dan ia wajar dikongsi dengan khalayak moden tanpa melupakan akarnya,” jelas Dato’ M. Nasir.
Allahyarham Nafie Spider, yang bertindak sebagai produser untuk lagu ini, telah menambah elemen progresif dalam struktur lagu tanpa menghilangkan keindahan elemen tradisional asalnya.
Rentak yang lebih segar, progresi kord yang moden, dan susunan kreatif menjadikan karya ini sebuah pengalaman mendengar yang unik.
Lagu ini merupakan sebahagian daripada projek besar ‘100 Lagu 100 Tahun’, hasil kolaborasi antara Luncai Emas Sdn Bhd dan World Business Affairs Sdn Bhd.
Projek ini bertujuan untuk mengumpulkan dan memelihara 100 lagu klasik Melayu dari abad ke-20, memperkenalkan semula karya ini dalam bentuk audio dan buku rujukan yang bakal diterbitkan oleh UUM Press.
Untuk melengkapkan keindahan karya ini, sebuah muzik video yang diarahkan oleh Sha Bromo telah dirakamkan, menampilkan konsep teater bangsawan era 1950-an.
Kerjasama dengan ASWARA menambah dimensi budaya pada persembahan, dengan Dato’ M. Nasir sebagai pencerita utama.
“Nuri Terbang Malam” kini boleh dinikmati di platform digital seperti YouTube, Spotify, dan Apple Music bermula 3 Januari 2025.
Dengan sentuhan moden ini, lagu klasik ini bukan sahaja terbang lagi tetapi juga terbang lebih tinggi, menyambungkan warisan budaya Melayu kepada generasi masa kini.