Nuha Bahrin Tampil Lebih ‘Raw’ Dan Jujur Dalam ‘Malam-Malam’
- oleh MDaily Editor
- 20 Apr 2026 1:29 pm
Selepas mencetuskan fenomena luar biasa menerusi lagu Casablanca, penyanyi dan penulis lagu popular, Nuha Bahrin, kini kembali mempertaruhkan naskhah terbaharunya berjudul Malam-Malam.
Single yang dijadualkan menemui peminat pada 24 April ini menyaksikan Nuha tampil dengan sisi yang lebih matang, jujur, dan berani dalam menyampaikan emosi kerinduan yang mendalam.
Menerusi kolaborasi istimewa bersama komposer berpengaruh, Ezra Kong di bawah projek kreatif mimpi., lagu ini menggabungkan elemen muzik Arab dan Sepanyol yang disuntik dengan sentuhan moden pop Melayu.
Bagi Nuha, Malam-Malam bukan sekadar sebuah lagu cinta biasa, sebaliknya ia membawa makna yang sangat peribadi termasuk kerinduan terhadap versi dirinya yang terdahulu.
“Nuha sangat ‘relate’ dengan lagu ini apabila teringat versi diri yang lama. Waktu malam selalunya membuatkan Nuha berfikir secara berlebihan (overthink) dan teringat semula kesilapan lalu.
“Ada rasa rindu pada diri sendiri yang dulu—yang lebih yakin dan tidak terlalu peduli dengan pandangan orang lain. Nuha sangat rindukan perasaan itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas mengenai penyampaian vokal, Nuha mengakui dia cuba menonjolkan rasa rindu itu dengan cara yang lebih raw (bersahaja) dan jujur bagi mengimbangi nuansa muzik yang unik hasil garapan Ezra Kong dan penulis lirik, Sufairah Mohd.
Dalam pada itu, Ezra Kong mendedahkan bahawa inspirasi Malam-Malam hadir daripada perbualannya bersama rakan-rakan yang bertugas sebagai anggota polis.
“Inspirasi lagu ini datang ketika mendengar kisah rakan-rakan polis yang perlu bekerja di saat orang lain menyambut raya. Perasaan rindu itu kemudian saya olah menjadi sentuhan romansa buat mereka yang menunggu kepulangan insan tersayang.
“Apabila lagu ini dipadankan dengan Nuha Bahrin, jelas sekali lagu ini telah menemui pemilik yang tepat,” jelas Ezra yang menyifatkan projek mimpi. sebagai ruang untuknya menghasilkan karya yang lebih jujur dan dekat di hati.
Melengkapkan naratif lagu tersebut, video muzik (MV) Malam-Malam bakal mengetengahkan konsep visual puitis yang menggambarkan seorang wanita terperangkap dalam memori cinta yang hilang.
Simbolik ‘dua dunia selari’ digunakan bagi menunjukkan kehadiran insan tersayang yang hanyalah bayangan perasaan rindu yang belum terlerai.
Malam-Malam boleh dinikmati di semua platform penstriman digital bermula Jumaat ini, 24 April 2026.
