Nostalgia ‘Zapin Usik Mengusik’ Kembali, Heyda Hafeey Muncul Berduet Bersama Lan Solo
- oleh MDaily Editor
- 11 Mar 2026 9:57 pm
Mengimbau kegemilangan industri muzik tanah air pada tahun 1998, tiada siapa dapat melupakan penangan lagu ikonik Zapin Usik Mengusik.
Selepas lebih dua dekad, lagu yang pernah mencetuskan fenomena luar biasa itu kini diberi nafas baharu oleh penyanyi asalnya yang kini ingin dikenali sebagai Heyda Hafeey.
Kemunculan semula bintang yang dahulunya dikenali sebagai Haida ini bukan sekadar mengubat rindu peminat, malah tampil lebih bertenaga menerusi kolaborasi bersama penyanyi rock popular, Lan Solo, dalam naskhah segar berjudul Zapin Usik Mengusik 2.0.
Bagi Heyda, 45, pemilihan lagu ini mempunyai nilai sentimental yang sangat mendalam kerana ia merupakan ‘pintu’ yang memperkenalkan namanya dalam industri muzik Malaysia sewaktu berusia 17 tahun.

“Memilih untuk merakamkan semula lagu ini bukan sekadar mengimbau kenangan, tetapi usaha saya menyesuaikannya dengan perubahan era tanpa meminggirkan ciri tradisional yang menjadi tunjang asal lagu ini,” katanya di majlis sidang media dan berbuka puasa di Hilton Petaling Jaya, di sini, hari ini.
Istimewanya, versi kali ini menyaksikan Lan Solo menggalas tanggungjawab besar menggantikan bahagian vokal yang dahulunya dinyanyikan oleh kumpulan komedi tersohor, Senario.

Lagu ciptaan asal Budeen ini telah digubah semula oleh pemuzik berpengalaman, Dato Indra, dengan suntikan elemen Etnik Fusion.
Walaupun mengekalkan identiti tradisional yang tebal, versi 2.0 ini tampil lebih dinamik dengan adunan instrumen moden yang lebih catchy dan relevan untuk pendengar generasi baharu.
Lan mengakui pada mulanya beliau agak ragu-ragu untuk menerima tawaran duet tersebut kerana sedar akan impak besar yang ditinggalkan oleh versi asal.

“Sejujurnya, saya meminta Kak Aida (Heyda) mencari penyanyi lain dahulu kerana lagu ini mempunyai sejarah yang sangat besar dengan Senario. Ia satu tanggungjawab berat untuk saya mewakili lima vokal lelaki secara solo dalam versi duet ini.
“Namun, melihat kesungguhan Heyda untuk kembali memeriahkan industri, saya berikan sokongan penuh. Saya sedia menerima sebarang kritikan atau perbandingan kerana apa yang penting adalah kualiti karya ini,” jelas Lan.

Menjelaskan mengenai pertukaran nama pentas kepada Heyda Hafeey, beliau menyifatkan ia sebagai satu penjenamaan yang lebih segar dan matang sesuai dengan imejnya sekarang.
Meskipun sebelum ini dilihat agak sepi di pasaran tempatan selepas penyertaan dalam Gegar Vaganza (GV) 2017, Heyda sebenarnya aktif membina nama di Indonesia dengan meluncurkan dua buah lagu di sana iaitu Lima Tahun Saja dan Kekasihku Milik Orang.
“Sebenarnya saya aktif di Indonesia dengan siri jelajah di Bandung dan Jakarta. Kini, saya sudah bersedia untuk kembali fokus di Malaysia. Zapin Usik Mengusik 2.0 adalah ‘buah tangan’ atau pengenalan semula sebelum saya tampil dengan perancangan single solo yang lain,” tambahnya lagi.
Lagu terbitan Heyda Entertainment dengan kerjasama Luncai Emas Sdn Bhd ini bakal menemui peminat di semua platform penstriman digital tidak lama lagi, disusuli dengan pelancaran muzik video rasmi.
Foto Oleh: Papadin.




