Nostalgia Nidji, Bunkface Dalam Satu Pentas di Zepp KL
- oleh MDaily Editor
- 22 Dec 2025 3:27 pm
Debaran dan kerinduan peminat muzik rock dua negara akhirnya terubat apabila dua kumpulan gergasi, Nidji dari Indonesia dan Bunkface dari Malaysia, berkongsi satu pentas dalam konsert NusaFest Presents: Nidji x Bunkface di Zepp Kuala Lumpur, malam tadi.
Sepanjang hampir tiga jam persembahan, ruang konsert digegarkan dengan sorakan ribuan peminat yang rata-ratanya hadir mengenakan busana denim, sekali gus mencetuskan fenomena luar biasa bagi menutup tirai tahun 2025.
Bunkface yang dianggotai Sam, Paan, Youk dan Biak, membuka tirai tepat jam 8.36 malam dengan lagu Malam Ini Kita Punya. Tenaga yang ditampilkan kumpulan itu membuktikan mereka tetap relevan selepas dua dekad mewarnai industri muzik tanah air.
Vokalisnya, Sam, mengakui terharu dengan sokongan padu peminat yang masih setia menyanyikan setiap bait lagu mereka walaupun sudah 20 tahun berkelana dalam seni.

“Kami dah 20 tahun, tak sangka masih ada yang dengar lagi lagu kami,” katanya sebelum meneruskan aksi dengan rangkaian 13 lagu popular termasuk Situasi, Panik, Prom Queen dan Revolusi.
Suasana semakin memuncak apabila giliran Nidji mengambil alih pentas. Kumpulan yang kini diterajui Yusuf Ubay selaku vokalis memulakan persembahan dengan lagu berhantu, Laskar Pelangi.
Meskipun memikul tanggungjawab besar membawa legasi Nidji, Ubay yang kelihatan gementar pada awalnya berjaya menawan hati penonton dengan vokal mantap serta aksi lincahnya.

“Jujur aku sangat berdebar malam ini. Jarang kami membawakan set lagu ini, tetapi kami bawakan khas untuk hujung tahun 2025 di Malaysia,” ujar Ubay di hadapan ribuan peminat.
Mereka turut membawakan lagu Teman Sejati yang merupakan lagu tema bagi filem animasi popular tempatan, Ejen Ali The Movie 2.
Antara lagu yang turut dipersembahkan termasuklah Manusia Sempurna, Kisah Kasihku, Shadows, dan Biarlah. Sebagai kejutan, Nidji kembali ke pentas membawakan lagu ikonik Sumpah dan Cinta Matiku sebelum melabuhkan tirai konsert dengan lagu Hapus Aku.
Gabungan dua nama besar ini bukan sekadar sebuah konsert, malah menjadi sebuah naskhah nostalgia yang menyatukan jiwa peminat muzik serantau dalam satu keraian yang penuh bertenaga.




