Ikuti Kami:

Noryn Aziz Pilih Jazz Sebagai Cerminan Jiwa, ‘This Is Noryn Aziz’ 19 September Ini

Noryn Aziz Pilih Jazz Sebagai Cerminan Jiwa, ‘This Is Noryn Aziz’ 19 September Ini

“Muzik jazz adalah cerminan jiwa saya,” demikian pengakuan jujur penyanyi versatil tanah air, Noryn Aziz ketika mengumumkan persembahan khas This Is Noryn Aziz Showcase – A One Night Journey of Timeless Music and Soulful Celebration yang bakal berlangsung pada 19 September 2025 di Auditorium DBKL, Kuala Lumpur.

Menurut Noryn Aziz atau nama lengkapnya Norazmahwati Abdul Aziz, perjalanan seninya telah melalui pelbagai warna genre termasuk rock, pop rock, pop dan R&B sebelum akhirnya mendapati jazz adalah gaya muzik yang paling dekat dengan dirinya.

“Saya sudah cuba banyak genre yang berbeza. Tetapi sekarang saya bersama dengan jazz. Jangan kategorikan seorang artis kepada satu genre kerana bagi saya, ia tentang rasa dan pembentangan keseluruhan yang akhirnya membentuk gaya saya sendiri,” katanya pada sidang media This is Noryn Aziz di Saprah Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Penyanyi berusia 48 tahun itu turut mengakui cabaran membawa muzik jazz di Malaysia kerana genre tersebut dianggap niche dan kurang popular. Namun baginya, populariti bukan lagi matlamat utama.

“Malaysia pun tak ramai yang buat jazz sebab ramai takut ia takkan popular. Tapi inilah yang saya suka dan saya mahu lakukan. Saya tidak mahu orang lain mendefinisikan hala tuju saya. Muzik sepatutnya buat kita rasa bahagia, bukan stres dengan soal jumlah tontonan atau populariti,” katanya lagi.

Beliau yang telah berpuluh tahun berkecimpung dalam dunia seni sejak usia kanak-kanak menegaskan bahawa prinsipnya kini lebih menekankan soal kualiti berbanding kuantiti.

“Saya menyanyi sejak umur sembilan tahun, dan belajar muzik di UiTM serta ICOM. Bagi saya, kreativiti adalah tentang kualiti, bukan kuantiti. Alhamdulillah, saya masih di sini, dan Insya-Allah saya akan terus memberikan yang terbaik untuk industri muzik Malaysia,” jelasnya.

This Is Noryn Aziz akan dibahagikan kepada dua babak utama iaitu Jazz & Soul serta R&B Celebration, dengan setiap segmen menampilkan perjalanan karya beliau termasuk lagu-lagu popular seperti Kaki Kiriku, Jangan Bukan-bukan dan Syurga Sempurna.

Persembahan ini juga akan turut diserikan dengan kolaborasi bersama penyanyi undangan.

Hanya 500 tempat duduk eksklusif ditawarkan kepada peminat untuk sama-sama menikmati perjalanan penuh jiwa seorang Noryn Aziz dalam suasana intim. Tiket berharga dari RM158 (Bronze) hingga RM388 (Platinum) boleh didapati melalui tickethotline.

Komen
Loading...