
Penyanyi jazz dan R&B terkenal tanah air, Noryn Aziz bakal menghiburkan peminat dalam sebuah showcase eksklusif bertajuk This Is Noryn Aziz yang akan berlangsung di Auditorium DBKL pada 19 September ini.
Showcase yang menghimpunkan elemen jazz, soul dan R&B itu dijangka memberi pengalaman muzik yang penuh emosi kepada hanya 500 penonton yang hadir.
Noryn berkata, persembahan itu lebih daripada sekadar persembahan, sebaliknya merupakan gambaran keseluruhan perjalanan seninya sebagai anak seni tempatan.
“This Is Noryn Aziz bukan sekadar persembahan muzik. Ia adalah cerminan siapa saya sebagai seorang penyanyi, wanita dan anak Malaysia. Ia juga kisah perjalanan muzik saya dan kisah hidup saya yang dilalui melalui muzik,” katanya dalam kenyataan media.
Persembahan itu akan dibahagikan kepada dua segmen utama. Segmen pertama mengetengahkan susunan lagu berteraskan jazz dan soul seperti Kaki Kiriku, Syurga Sempurna dan Hoore Hoore yang diberikan sentuhan moden dan elegan.
Manakala segmen kedua menyajikan elemen R&B kontemporari dalam suasana lebih bertenaga dan penuh sambutan.
Showcase tersebut turut menampilkan rangkaian lagu popular daripada awal kerjaya Noryn seperti Fantasi O Realiti dan Alam Maya sehinggalah karya baharu yang lebih matang dan berani.
Pengaruh daripada artis antarabangsa seperti Ella Fitzgerald dan Anita Baker serta ikon tempatan seperti Datuk Sheila Majid turut diserap namun dibawa dengan gaya tersendiri berteraskan jiwa Malaysia.
Noryn berkata, konsert ini juga merupakan satu usaha untuk membawa muzik jazz lebih dekat dengan masyarakat dan keluar daripada ruang yang dianggap eksklusif.
“Saya mahu jazz itu kedengaran seperti kita, dalam bahasa kita, rentak kita dan jiwa kita. Malaysia sebenarnya punya suara jazz yang elegan, bersahaja dan moden, namun tetap berakar pada budaya. Saya mahu suara itu diberi tempat,” katanya.
Selain mempersembahkan karya peribadi, konsert itu turut dijadikan platform untuk memberi inspirasi kepada pemuzik tempatan khususnya wanita dalam genre jazz agar lebih yakin mengekspresikan diri.
This Is Noryn Aziz akan berlangsung di Auditorium DBKL, Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur pada 19 September 2025 jam 8 malam. Pintu dewan akan dibuka kepada penonton mulai jam 7 malam. Tiket boleh didapati menerusi laman sesawang tickethotline.