Northern Festival Of Speed gegar Pulau Pinang, tawar hadiah kereta mewah
- oleh MDaily Editor
- 4 Oct 2025 2:04 pm

Karnival permotoran terbesar utara tanah air, Northern Festival Of Speed (NFOS) mencuri tumpuan apabila menawarkan hadiah cabutan bertuah berupa tiga buah kereta mewah kepada pengunjung bertuah.
Acara yang berlangsung di PICCA Butterworth dari 3 hingga 5 Oktober ini bukan sahaja menggabungkan pelbagai aktiviti automotif dan hiburan, malah turut menampilkan hadiah utama bernilai tinggi termasuk sebuah Mercedes A-Class model W177 (Unregister) bernilai RM200,000, selain Nissan 350Z dan Honda Civic FD.
Ketua Pegawai Eksekutif PMH, Izwan Mazlan, selaku penaja utama berkata, cabutan bertuah itu menjadi simbol komitmen mereka dalam menjadikan NFOS sebagai acara permotoran paling berprestij di rantau utara.
“Kita mahu jadikan NFOS berbeza daripada festival automotif lain. Dengan hanya tiket berharga RM15, pengunjung bukan sahaja dapat menyaksikan koleksi kereta rare dan aktiviti menarik, malah berpeluang membawa pulang kereta mewah,” katanya.
Selain itu, PMH juga turut membuka booth pameran dan jualan kereta-kereta import recond (terpakai) dari luar negara. PMH Motor juga membawakan kepada anda, motosikal elektrik (EV) keluaran pengilang bumiputera iaitu model LION G1 GGR EV yang sedang melonjak naik permintaannya di tapak pameran di Picca, Butterworth.
Anda akan dapat melihat dan berpeluang pandu uji serta merasai sendiri pengalaman menunggang motosikal EV yang menarik ini.
NFOS turut menampilkan pelbagai aktiviti seperti taxi drift, demo drift, car show, limbo stance, 2-step competition serta konsert artis terkenal seperti XPDC, Cherpen, 53 Universe, K.O.I dan ramai lagi.
Festival anjuran Northern Speedo & Choii Motorsports dengan sokongan pempengaruh automotif seperti Motor Maniac, Uncle Shah, Nim 199, Retro Havoc dan lain-lain itu juga menerima kehadiran peminat kereta dari Thailand dan Singapura.
Penganjur, Faris Azri (Choii Motorsports) dan Muhammad Hadzimi (Northern Speedo) optimis acara kali ini mampu menarik lebih 70,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran.
Acara kemuncak akan berlangsung pada Ahad, 5 Oktober, dengan pengumuman pemenang hadiah kereta mewah yang dinanti-nantikan.