Nora Kongsi Pengalaman Cemas, Ingatkan Wanita Supaya Berhati-Hati
- oleh Mohd Indera
- 3 bulan lalu

Penyanyi terkenal, Datuk Nora Ariffin, baru-baru ini berkongsi pengalaman menakutkan yang dialaminya melalui satu hantaran video di Instagram.
Dalam video tersebut, beliau mengingatkan wanita supaya lebih berhati-hati apabila memandu sendirian.
Menurut Dato’ Nora, insiden itu berlaku ketika beliau berhenti di sebuah gerai menjual goreng pisang.
Beliau menyedari sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Fortuner sedang memerhatikannya dan kemudian mengikuti pergerakannya ketika beliau berjalan kembali ke kereta.
“Saya perasan kereta tersebut block kereta saya dari belakang. Saya tidak boleh keluar. Masa itu, saya panik dan terus baca doa pelindung diri,” katanya dengan suara bergetar menggambarkan situasi cemas itu.
Tambahnya, kenderaan tersebut dinaiki dua lelaki yang kelihatan mencurigakan. Bagaimanapun, selepas beberapa minit, kenderaan itu beredar tanpa sebarang kejadian buruk berlaku.
Dato’ Nora menasihatkan wanita untuk sentiasa berwaspada dan tidak mengambil mudah soal keselamatan, terutama apabila berada seorang diri.
“Kita tak tahu apa yang akan berlaku. Sentiasa alert dan amalkan doa pelindung diri sebagai usaha tambahan untuk menjaga keselamatan kita,” ujarnya.
Beliau juga meluahkan rasa syukur kerana dilindungi Allah dalam situasi tersebut.
“Alhamdulillah, saya selamat. Tapi pengalaman ini menjadi pengajaran besar buat saya untuk lebih berjaga-jaga selepas ini,” katanya.
Insiden tersebut mendapat perhatian ramai pengikutnya di media sosial yang turut berkongsi pengalaman serupa dan menyokong pesanan beliau.
Semoga perkongsian ini menjadi peringatan buat semua, terutamanya golongan wanita, untuk sentiasa menjaga keselamatan diri ketika berada di luar rumah.