Ikuti Kami:

Noh Salleh & Orkestra Filharmonik Malaysia Bergabung Dalam “Chanson De Kuala Lumpur”

Noh Salleh & Orkestra Filharmonik Malaysia Bergabung Dalam “Chanson De Kuala Lumpur”

Penyanyi, penulis lagu dan pemuzik tersohor Noh Salleh bakal menutup tirai musim persembahan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) dengan sebuah kolaborasi istimewa bertajuk Chanson de Kuala Lumpur yang akan berlangsung pada Sabtu, 1 November 2025 jam 8 malam.

Dalam konsert ini, peminat akan dibawa menyusuri perjalanan muzik Noh Salleh selama 20 tahun dalam industri seni, dengan alunan lagu-lagu ikonik seperti Kotak Hati dan Angin Kencang diserikan lagi dengan sentuhan muzik orkestra yang memukau.

Acara yang dinanti-nantikan ini menampilkan Noh Salleh bersama MPO di bawah pimpinan konduktor Ahmad Muriz Che Rose.

Vokalis kumpulan Hujan ini turut mempersembahkan karya-karya yang dipengaruhi irama pop Perancis, menjadikan malam tersebut sebuah pengalaman audio yang penuh gaya dan emosi.

Gandingan suara unik Noh Salleh dan susunan muzik orkestra yang teliti dijangka membawa nafas baharu kepada lagu-lagu yang telah sekian lama menjadi siulan ramai.

Tiket untuk konsert ini dijual pada harga RM199, RM249, RM299 dan RM359. Tempat duduk suite turut ditawarkan pada harga RM409 dan RM459 setiap satu, lengkap dengan hidangan ringan eksklusif.

Chanson de Kuala Lumpur bukan sahaja meraikan kerjaya cemerlang Noh Salleh, malah menandakan satu lagi mercu jaya dalam dunia muzik tempatan dengan gabungan hebat antara muzik popular dan orkestra bertaraf dunia.

Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket, sila layari laman web rasmi DPF.

Komen
Loading...