Ikuti Kami:

“Noh Chanson De Kuala Lumpur”: Noh Salleh Tampil Kelas Tersendiri Di DFP

“Noh Chanson De Kuala Lumpur”: Noh Salleh Tampil Kelas Tersendiri Di DFP

Penyanyi dan komposer tersohor, Noh Salleh, sekali lagi membuktikan kehebatan bakat dan keunikan seninya apabila tampil mempesona dalam konsert eksklusif bertajuk “Chanson de Kuala Lumpur: Noh Salleh & The Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO)” di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), malam tadi.

Membuka tirai dengan lagu Debu Bercahaya, Noh membawa penonton menyelami dunia muziknya yang puitis, eksperimental dan penuh emosi, diserikan dengan alunan orkestra megah di bawah pimpinan konduktor berpengalaman, Ahmad Muriz Che Rose.

Selama hampir 90 minit, DFP bergema dengan persembahan bertenaga dan beremosi tinggi apabila Noh mempersembahkan deretan lagu hits seperti Mr Polia, Renjana, Mau Ke Mana, Di Kala Bulan Bermain Biola serta Bila Aku Sudah Tiada, yang semuanya digubah semula dengan susunan orkestra oleh penggubah muzik terkenal termasuk Alvin Witarsa, Luqman Aziz, Azhad Sulaiman dan Ilham Subri.

Sorotan malam turut tertumpu kepada kemunculan istimewa Aina Abdul, yang bergandingan dengan Noh menerusi lagu Sang Penikam. Gandingan dua vokalis hebat itu berjaya memukau penonton dengan adunan harmoni yang dramatik dan menyentuh jiwa.

Konsert ini turut dikuatkan oleh barisan pemuzik pengiring Noh yang terdiri daripada Azim Ali (Jenk) di posisi dram, Hezry Hafidz (AG Coco) pada gitar, Suffren (Suff) di bass, dan Zainal Abidin (Zach) di keyboard serta piano.

Lebih 60 pemuzik Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) turut memperindah konsert ini dengan kekuatan bunyi dan ketelitian muzik yang menjadi lambang kecemerlangan mereka sejak ditubuhkan pada tahun 1998.

Menutup malam penuh magis itu dengan lagu Rahsia Tuhan, Noh menerima tepukan berdiri daripada penonton yang terbuai dengan persembahannya.

Sebagai tanda penghargaan kepada peminat setia, Noh kembali ke pentas untuk persembahan encore yang cukup istimewa menerusi lagu popular kumpulan Hujan, Aku Skandal.

Lagu ikonik yang diiringi susunan orkestra penuh itu mencetuskan sorakan gemuruh dan membuatkan seluruh dewan berdiri, menyanyikan bersama-sama bait lagu yang begitu sinonim dengan perjalanan awal kariernya.

Komen
Loading...