NO TIME FOR SILENCE Kembali Dengan Lagu Baharu “i dont wanna die tonight.flp”
- oleh Mohd Indera
- 6 Aug 2025 11:19 am

Kumpulan muzik alt-hardcore, NO TIME FOR SILENCE, kembali dengan single terbaharu berjudul “i dont wanna die tonight.flp” selepas lama menyepi.
Lagu ini menceritakan tentang rasa penat, tekanan hidup dan perasaan ingin melawan yang membawa mesej tentang semangat untuk terus hidup, walaupun berdepan kesukaran.
Dengan gabungan bunyi gitar bising, vokal yang kuat dan bunyi elektronik moden, lagu ini menonjolkan gaya muzik mereka yang unik dan penuh emosi.
“Lagu ini tentang apa yang kami rasa dalam dunia yang serabut. Kadang-kadang kita rasa nak mengalah, tapi lagu ini ingatkan kita untuk terus lawan,” kata wakil kumpulan itu.
Menariknya, video muzik rasmi lagu ini berlatar di sebuah rumah orang lama dan ahli kumpulan tampil sebagai versi tua diri mereka yang sedang menonton rakaman persembahan mereka semasa muda.
Suasana tenang itu tiba-tiba berubah apabila mereka mula ‘memberontak’ dan menghidupkan semula semangat punk yang pernah membara dalam diri mereka.
“Kami nak tunjuk yang semangat dalam diri tak akan hilang walaupun umur makin meningkat. Selagi ada api dalam hati, kita tetap boleh ‘meletup’,” katanya.
Lagu ini juga menjadi pembuka jalan kepada album pertama mereka yang dijangka dilancarkan pada Disember 2025 dengan tajuk CRASH REPORT: braceforchange.flp has stopped working.
Selain itu, mereka juga akan mengadakan konsert khas bersama beberapa kumpulan muzik metal lain dari Malaysia bersempena pelancaran album ini.
Lagu “i dont wanna die tonight.flp” kini boleh didengar di semua platform muzik digital. Video muzik rasmi pula akan dilancarkan di YouTube pada hari Jumaat ini.