Jenama gunting rambut tempatan, Nimroc, terus melebarkan sayapnya dengan pembukaan cawangan terbaharu di The Campus Ampang, sekali gus menjadikan ia outlet ke-20 sejak penubuhan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Ardy Shafiq, berkata pencapaian ini membuktikan perkembangan positif Nimroc yang bermula secara kecil-kecilan di pasar malam Cheras, sebelum berkembang kepada rangkaian outlet dan akademi latihan profesional.
“Alhamdulillah, dari bermula dengan satu kerusi di pasar malam, hari ini Nimroc sudah melahirkan ramai barber profesional melalui Nimroc Academy dan mampu berdiri di lokasi strategik seperti The Campus Ampang.
“Lokasi ini dipilih kerana kedudukannya yang berpotensi tinggi serta menjadi tumpuan masyarakat bandar,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Nimroc Holdings Sdn Bhd, Encik Ardy Shafiq.
Beliau menambah, pembukaan cawangan di The Campus Ampang juga sejajar dengan strategi Nimroc untuk lebih dekat dengan komuniti setempat.
“Kami mahu pelanggan merasai pengalaman yang konsisten dan profesional di setiap outlet. Dengan adanya The Campus Ampang, kami yakin ia akan menjadi salah satu pusat tumpuan pelanggan tetap dan pelanggan baharu,” jelasnya.
Selain itu, beliau menekankan konsep associate partner yang diamalkan Nimroc, di mana pekerja berpengalaman berpeluang memiliki pegangan saham outlet.

“Di Nimroc, kami bukan sekadar membuka cawangan baharu, tetapi membuka peluang kerjaya yang jelas. Dari akademi, mereka bermula sebagai pelajar, kemudian barber junior, seterusnya manager dan akhirnya associate partner. Itulah kekuatan model perniagaan kami,” katanya.
Buat masa ini, Nimroc beroperasi di sekitar Lembah Klang, namun syarikat merancang membuka akademi di Johor dan Pulau Pinang sebagai persiapan sebelum menembusi pasaran lebih luas.
“Kami mensasarkan 100 outlet dalam tempoh lima tahun. Tahun ini lima outlet baharu, tahun depan pula 10 outlet lagi. Insya-Allah The Campus Ampang ini akan menjadi titik permulaan untuk pencapaian lebih besar,” ujarnya.
Bersempena pembukaan rasmi The Campus Ampang, Nimroc menawarkan gunting rambut percuma untuk 20 pelanggan pertama serta baucar diskaun 10 peratus sebagai penghargaan kepada pelanggan baharu.




