Ikuti Kami:

Nidji x Bunkface Janji Konsert Paling ‘Pecah’ di Megastar Arena

Nidji x Bunkface Janji Konsert Paling ‘Pecah’ di Megastar Arena

Peminat muzik tanah air dan Indonesia bakal menyaksikan malam paling bertenaga dan bersejarah apabila Nidji dan Bunkface tampil dalam Nusa Fest 2025 pada 21 Disember ini di Megastar Arena, Kuala Lumpur.

Sejak penubuhan masing-masing, Nidji dan Bunkface telah mencipta nama sebagai kugiran terkemuka di rantau Asia Tenggara.

Nidji yang berasal dari Indonesia terkenal dengan lagu-lagu seperti Cinta dan Sumpah Matiku dan pernah membuat persembahan di pelbagai festival besar di Malaysia, manakala Bunkface pula menjadi ikon rock Malaysia dengan lagu-lagu hits serta persembahan pentas penuh tenaga yang memukau peminat di seluruh negara.

Menurut Shirazdeen Karim, Penerbit Eksekutif Shiraz Projects, penganjuran edisi kali ini menampilkan hanya dua kugiran utama berbanding puluhan line up pada edisi 2023.

“Walaupun hanya dua kugiran, konsert ini dijangka menjadi malam paling ‘pecah’. Energi yang dibawa Nidji sangat besar, manakala Bunkface pula sudah terbukti berkualiti dan bertenaga dalam pelbagai persembahan sebelum ini. Nusa Fest Presents – Nidji x Bunkface akan mencipta momen epik yang tidak boleh dilepaskan,” katanya.

Sam, vokalis Bunkface, berkata, projek ini membuktikan sinergi pemuzik Malaysia-Indonesia berjalan lancar.

“Nusa Fest Presents – Nidji x Bunkface bukan sekadar persembahan pentas biasa tetapi akan menjadi momen paling berharga buat peminat kami,” ujarnya.

Sementara itu, Ubay, vokalis Nidji, menyifatkan peluang berkongsi pentas dengan Bunkface sebagai satu penghormatan.

“Bermain sepanggung hanya kami berdua adalah momen istimewa. Kami akan persembahkan yang terbaik untuk peminat di Megastar Arena,” katanya.

Tiket konsert ditawarkan pada harga Rockzone (Standing) RM228, Diamond (Seated) RM198, dan Platinum (Seated) RM168. Pembelian boleh dibuat melalui www.ticket2u.com.my bermula 2 Oktober 2025, jam 10 pagi.

Saksikan sendiri energi Nidji dan Bunkface meledak di Megastar Arena, Kuala Lumpur pada 21 Disember ini.

Komen
Loading...