Nidji Meriahkan Sesi Bertemu Peminat, Janji Kejutan Istimewa di Konsert Axiata Bukit Jalil
- oleh Mohd Indera
- 1 bulan lalu

Kumpulan muzik terkenal Indonesia, Nidji, telah mengadakan sesi bertemu peminat (meet and greet) pada Sabtu sebagai persediaan untuk konsert mereka yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Acara ini memberikan peluang eksklusif kepada peminat untuk berinteraksi secara langsung dengan ahli kumpulan Nidji, termasuk vokalis Yusuf Ubay, pemain bass Andro Regantoro, pemain keyboard Randy Danistha, gitaris Ramadhista Akbar dan Andi Ariel Harsya, serta pemain dram Adri Prakarsa.
Semasa sesi tersebut, Nidji berkongsi keterujaan mereka untuk kembali beraksi di Malaysia dan berinteraksi dengan peminat setia.
Mereka juga memberikan bayangan mengenai persembahan istimewa yang dirancang untuk konsert pada Ahad.
Menurut vokalis Nidji, Yusuf Ubay, mereka sudah melakukan persiapan rapi untuk memastikan konsert esok berjalan dengan lancar dan memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan kepada peminat.
Beliau turut mendedahkan bahawa mereka telah melakukan latihan intensif selama beberapa hari untuk memastikan konsert berjalan dengan lancar.
“Untuk konsert nanti tanggal 2, kita sudah banyak melakukan persiapan. Yang pasti kami akan berikan yang terbaik untuk peminat-peminat Nidji di Malaysia. Kita juga sudah melakukan run terus selama dua hari kemarin dan mencuba untuk menyusun setlist serta urutannya. Kami akan membahagikan beberapa segmen khas untuk peminat di Malaysia dan semoga semuanya berkenan. Kami berharap semua yang datang akan pulang dengan memori yang indah dan pengalaman yang luar biasa,” kata Ubay.
Konsert yang dijadualkan pada Ahad, 2 Februari 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil, ini adalah sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-23 penubuhan Nidji dalam industri muzik.
Nidji turut membuat persembahan istimewa secara akustik semasa sesi bertemu peminat (Meet and Greet) itu.
Tiket untuk konsert ini telah mula dijual sejak 8 November 2024 melalui platform ILASSOTICKETS, dengan pelbagai kategori yang ditawarkan, termasuk pas Meet & Greet yang berharga RM198.
Peminat yang ingin menyaksikan persembahan bertenaga dari Nidji masih berpeluang mendapatkan tiket mereka dan tidak melepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada pengalaman muzik yang luar biasa ini.