Nidji Buktikan Kehebatan, Konsert Solo Pertama di Malaysia Meletup!
- oleh Mohd Indera
- 4 bulan lalu

Axiata Arena, Bukit Jalil menjadi saksi kepada sebuah malam penuh magis apabila kumpulan Nidji menggegarkan pentas dengan konsert solo pertama mereka di Malaysia, Nidji 2.3: The New Chapter, pada malam Ahad, 2 Februari 2025.
Konsert ini bukan sekadar meraikan perjalanan muzik mereka selama 23 tahun, tetapi juga menjadi bukti bahawa muzik Nidji terus relevan merentasi generasi.
Seawal petang, peminat setia sudah membanjiri venue dengan penuh keterujaan. Tepat jam 8.30 malam, suasana menjadi gemuruh apabila lampu dipadamkan dan intro mula berkumandang.
Nidji memulakan persembahan dengan Ku Takkan Bisa, diikuti Bolehlah Ku Berharap dan Kau dan Aku, yang menjadi pemanas suasana.
Dengan vokal bertenaga Yusuf Ubay dan permainan muzik yang mantap, Nidji berjaya mencetuskan gelombang semangat dalam kalangan peminat yang tidak henti-henti bersorak dan menyanyi bersama.
Energi terus meningkat apabila mereka meneruskan persembahan dengan Wadoow dan Heaven, menampilkan keunikan muzik mereka yang penuh warna.
Namun, suasana berubah menjadi lebih emosional apabila Sumpah Dan Cinta Matiku dimainkan. Seluruh arena bergema dengan nyanyian penonton yang turut larut dalam lirik lagu yang kembali popular di TikTok ini.
Selepas membawa peminat menyelami nostalgia dengan Teroesir dan Di Atas Awan, Nidji kemudian menghadiahkan lagu Segitiga Cinta dan Rahasia Hati, yang menyentuh perasaan ramai.
Satu kejutan istimewa malam itu adalah apabila mereka menampilkan Kugiran Masdo sebagai tetamu khas untuk lagu Zayang-Zayang.
Kolaborasi ini mendapat sorakan luar biasa daripada peminat Malaysia, membuktikan persaudaraan muzik antara dua negara serumpun ini.
Salah satu detik paling mengagumkan ialah ketika vokalis Yusuf Ubay duduk di hadapan piano dan membawakan lagu ikonik Malaysia, Getaran Jiwa sebagai penghormatan kepada legenda Tan Sri P. Ramlee.
Persembahan ini menyentuh hati ramai penonton, yang tidak henti-henti memberikan tepukan gemuruh sebagai tanda penghargaan terhadap usaha Nidji menghormati seni muzik tempatan.
Konsert diteruskan dengan Abadi, Sudah, Jangan Lupakan, Bila Aku Jatuh Cinta, dan Teman Sejati, yang membuatkan penonton larut dalam gelombang emosi.
Saat lagu Lampu Hati dimainkan, penonton menyalakan lampu telefon bimbit mereka, mencipta lautan cahaya yang begitu indah dan mengharukan.
Menjelang penghujung konsert, Nidji semakin menggila dengan Arti Sahabat, sebelum suasana menjadi lebih rancak dengan Disco Lazy Time.
Suasana terus membara apabila mereka membawa Biarlah, diikuti dengan lagu yang paling dinanti-nantikan, Hapus Aku.
Sebagai penutup, Nidji membiarkan peminat mengambil alih bahagian akhir Hapus Aku dalam satu ‘sing-along’ yang penuh emosional.
Ribuan suara bergema di seluruh Axiata Arena, menyanyikan lirik dengan penuh perasaan, menjadikan momen ini antara yang paling berkesan sepanjang malam.
Secara keseluruhan, Nidji 2.3: The New Chapter bukan sekadar sebuah konsert, tetapi sebuah perayaan muzik yang membuktikan bahawa Nidji masih mempunyai tempat istimewa di hati peminat Malaysia.
Dengan gabungan nostalgia, kejutan istimewa, dan persembahan bertenaga, konsert ini telah mencipta satu pengalaman yang sukar dilupakan.
Bagi yang hadir, mereka pulang dengan kenangan indah, sementara bagi yang terlepas, harapan agar Nidji kembali ke Malaysia dalam masa terdekat pasti semakin membara.
Foto Oleh: Perbadanan Stadium Malaysia (@stadium.malaysia)