Nidji Bakal Gegarkan Peminat Dengan Konsert Nidji 2.3: The New Chapter di Malaysia pada 2025
- oleh Mohd Indera
- 1 bulan lalu
Selepas lebih dua dekad mewarnai industri muzik Indonesia, kumpulan Nidji kini bersiap sedia untuk mengadakan konsert solo pertama mereka di Malaysia, bertemakan Nidji 2.3: The New Chapter.
Konsert istimewa ini akan diadakan pada 2 Februari 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil, sempena meraikan ulang tahun ke-23 perjalanan mereka dalam dunia muzik.
Lagu popular Nidji seperti Sumpah Dan Cinta Matiku, yang kembali mendapat perhatian menerusi platform TikTok, akan bergema dalam konsert tersebut.
Peminat juga dapat menyaksikan Nidji mengimbau nostalgia dengan lagu-lagu kegemaran ramai seperti Hapus Aku, Sang Mantan, dan Disco Lazy Time, yang pernah melonjakkan nama mereka dalam persada muzik Nusantara.
Daniel Harith, wakil dari MND Sport & Event, selaku penganjur konsert ini, menyatakan keyakinannya bahawa Nidji 2.3: The New Chapter mampu menarik perhatian pelbagai generasi.
“Kami percaya bahawa Nidji memiliki daya tarikan unik bukan sahaja kepada peminat lama, malah generasi muda yang mengenali mereka melalui media sosial seperti TikTok,” katanya.
Konsert ini juga merupakan penghormatan kepada peminat Malaysia yang setia menyokong Nidji sepanjang tempoh perjalanan muzik mereka.
Peminat akan dihidangkan dengan persembahan penuh semangat oleh anggota kumpulan Nidji, iaitu Yusuf Ubay (vokal), Andro Regantoro (bass), Randy Danistha (keyboard/sintesis), Rama Akbar (gitar), dan Adri Prakarsa (dram).
Tiket untuk konsert ini akan mula dijual pada 8 November 2024, bermula jam 3 petang. Harga tiket adalah seperti berikut:
– CAT 1: RM168
– CAT 2: RM108
– VIP: RM258
– General Admission: RM158
– Meet & Greet Pass: RM198
Tiket boleh didapati melalui laman web iLassoTickets. Bagi peminat setia Nidji, konsert ini adalah peluang yang tidak boleh dilepaskan untuk menyaksikan persembahan hebat dan bertenaga daripada kumpulan ini.
Konsert Nidji 2.3: The New Chapter dijangka menjadi acara yang epik, yang bukan sahaja meraikan perjalanan muzik kumpulan ini, tetapi juga memberi peluang kepada peminat lama dan baru untuk bergabung dan menikmati persembahan live yang penuh energi.
Foto : Pa Pa Din