Ikuti Kami:

Nia Atasha Teruja Terajui Filem Kata Hati

Nia Atasha Teruja Terajui Filem Kata Hati

Pelakon meningkat naik, Nia Atasha mendedahkan bahawa dia hampir nekad untuk bersara daripada dunia lakonan sebelum menerima tawaran membintangi filem romantik komedi terbaharu, Kata Hati.

Nia, yang memegang watak utama sebagai Ayra Natasha, mengakui pernah berasa kecewa kerana sering terlepas peluang untuk melakonkan naskhah bergenre romantik komedi yang menjadi kegemarannya sejak kecil.

“Sebelum ini saya ada mendapat tawaran untuk filem genre ini, tapi tak ada rezeki. Disebabkan itu, saya pernah beritahu pengurus saya bahawa saya mahu bersara sahaja kerana tidak mendapat watak yang betul-betul saya inginkan.

“Namun, takdir berubah apabila pengurus saya menghubungi semula dan memberitahu ada tawaran untuk filem Kata Hati. Saya terus katakan yang saya mahukan watak itu tanpa berfikir panjang,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka dan Pelancaran Filem Kata Hati di Flint Cafe & Roastery, The Curve, Damansara, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai minatnya terhadap genre tersebut, Nia menyifatkan genre romantik komedi mempunyai nilai sentimental yang tinggi buat dirinya dan beliau juga sanggup mengharungi sesi ujibakat yang ketat selama enam minggu demi membuktikan kesungguhannya.

“Saya membesar dengan filem-filem romantik komedi. Ia adalah genre yang saya akan tonton berulang kali. Saya rasa sudah lama pasaran tempatan tidak dihidangkan dengan cerita cinta yang ringan tetapi menyentuh hati,” tambahnya lagi.

Sementara itu, pengarahnya, Nadiah Hamzah berkata, idea menghasilkan Kata Hati bermula sewaktu tempoh pandemik di mana dia banyak menonton semula filem-filem klasik genre berkenaan seperti Femina dan naskhah Hollywood, Notting Hill.

“Selepas menghasilkan filem Motif yang sangat serius pada 2019, saya mahu buat sesuatu yang lebih santai dan menghiburkan. Saya tertanya-tanya, kenapa kita tidak ada Notting Hill versi Malaysia? Dari situ saya mula kembangkan cerita ini.

“Untuk watak utama, saya memang mencari keserasian atau ‘chemistry’. Walaupun saya ambil nama besar sekalipun, jika tiada keserasian, ia tidak akan menjadi. Sebab itu mereka perlu melalui proses ujibakat yang sangat lama,” jelas Nadiah.

Nadiah turut memuji komitmen barisan pelakon mudanya dan menyamakan aura Nia Atasha seperti bintang antarabangsa, Julia Roberts, manakala Yusof Hashim sebagai Hugh Grant versinya.

“Nia Natasha sebenarnya adalah nama yang saya tulis dalam skrip asal secara kebetulan sebelum dia hadir ujibakat. Apabila dia datang dan menunjukkan lakonan yang paling tepat dengan watak Aira Natasha, saya tahu dialah orangnya.

“Walaupun mereka pelakon baru untuk skrin besar, kesungguhan mereka sangat mengejutkan. Mereka berani bertanya dan memberikan input, itu yang membuatkan naskhah ini terasa lebih hidup dan manusiawi,” tambahnya lagi.

Filem terbitan Wayangworks Sdn. Bhd. dan Filmscape Sdn. Bhd. ini diangkat sebagai sebuah ‘modern fairy tale’ yang memaparkan kisah cinta antara seorang pelakon wanita popular dengan seorang pemandu e-hailing.

Selain Nia Atasha dan Yusof Hashim, filem ini turut menampilkan Fazziq Muqris sebagai watak antagonis serta penampilan istimewa barisan pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Nabila Huda, dan Liyana Jasmay.

Kata Hati dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 4 Jun 2026.