Nelydia Senrose Terseret Dalam Cinta Tiga Segi Penuh Emosi Dalam Seindah Hujan Cinta
- oleh Mohd Indera
- 19 Jul 2025 1:17 pm

Pelakon terkenal, Nelydia Senrose muncul dengan watak penuh konflik emosi menerusi drama terbaru bertajuk Seindah Hujan Cinta yang akan ditayangkan bermula 21 Julai ini, eksklusif di Tonton.
Dalam drama ini, Nelydia membawa watak Zarita, seorang pempengaruh media sosial yang terjebak dalam kisah cinta tiga segi melibatkan suaminya, Wassim (Yusuf Bahrin) dan adik angkatnya, Aneesa (Ezzanie Jasny).
Seindah Hujan Cinta menceritakan tentang pergorbanan seorang isteri yang sanggup membenarkan suaminya berkahwin lagi kerana belum dikurniakan anak selepas lima tahun berkahwin. Lebih mengejutkan, Zarita mencadangkan adik angkatnya sendiri sebagai calon madu.
Namun, apa yang disangka akan membawa bahagia akhirnya menimbulkan cemburu dan penyesalan. Hati Zarita mula goyah apabila melihat kemesraan antara Wassim dan Aneesa, apatah lagi bila memikirkan siapa yang akan mengandung dahulu.
Drama ini bukan sekadar kisah poligami biasa. Ia menyentuh soal cinta, pergorbanan, kesetiaan dan dilema wanita moden yang tersepit antara kerjaya dan rumah tangga.
Selain Nelydia, drama arahan Nizam Zakaria ini turut dibintangi oleh Hariz Hamdan, Fadilah Mansor, Zulkifli Ismail dan Normah Damanhuri. Drama ini penuh dengan emosi, kejutan dan konflik yang dijangka meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.
Seindah Hujan Cinta juga memperlihatkan sisi lakonan Nelydia yang lebih matang dan berbeza berbanding sebelum ini.
Jangan lupa saksikan Seindah Hujan Cinta bermula 21 Julai ini, eksklusif di Tonton.