Nelissa Nizam Minta Ruang untuk Perbaiki Hubungan dengan Ibu
- oleh Mohd Indera
- 2 minggu lalu
Pelakon Nelissa Nizam, meminta ruang daripada masyarakat untuk menyelesaikan isu peribadi membabitkan hubungannya dengan ibunya.
Nelissa menegaskan bahawa hubungan keluarga adalah perkara yang sensitif dan memerlukan privasi.
Menurutnya, beliau telah berusaha untuk berhubung dengan ibunya, Ayu Manaf dan keluarga terdekat banyak membantu dalam proses itu. Walau bagaimanapun, kesibukan kedua-dua pihak menyebabkan pertemuan itu masih belum dapat diatur.
“Apa pun yang berlaku, ibu tetap ibu saya. Jadi, saya nak pastikan semuanya diselesaikan secara baik. Perkara seperti ini lebih sesuai dibincangkan dalam keluarga sahaja,” jelasnya.
“Saya harap semua orang dapat memberi ruang dan waktu untuk saya bertemu dengan ibu saya dan menyelesaikan perkara ini dengan baik,” ujar Nelisa.
Nelissa atau nama penuhnya Nelissa Edreena Nizam, 26, turut menekankan bahawa isu tersebut tidak membebankan dirinya walaupun sedang sibuk dengan penggambaran filem dan drama.
“Ini ujian hidup. Saya percaya ia boleh diselesaikan, dan saya akan terus fokus pada kerja sambil memastikan keluarga saya juga berada dalam keadaan baik,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, Nelissa berharap masyarakat dapat memahami keputusannya untuk tidak terlalu terbuka mengenai hal peribadi demi menjaga hubungan kekeluargaan.
“Saya minta maaf jika ada pihak yang tertunggu-tunggu kenyataan saya. Tetapi, untuk perkara seperti ini, saya perlukan masa dan ruang agar semuanya dapat diselesaikan dengan harmoni,” katanya.
Sebelum ini, Ibu Nelissa, Ayu Manaf mendedahkan hubungannya dengan anak-anak semakin renggang dan tidak mengetahui punca sebenar keretakan tersebut.
Ayu turut mendakwa bahawa selepas berkahwin semula dengan lelaki pilihan hatinya, anak-anaknya mula tidak mempedulikan dirinya.
Nelissa ditemui media pada malam Khamis di majlis tayangan perdana filem Sahak Gangster yang berlangsung di GSC Tropicana Mall.
Filem Sahak Gangster menampilkan Hariz Hamdan sebagai Sahak, Nelissa Nizam sebagai Suriani, dan turut dibarisi pelakon terkenal seperti Yana Samsudin (Kak Yong), Usop Wilcha (Pak Andak), Mamak Puteh (Mikael), Razak Ahmad dan Chiwan Raja Lawak sebagai pasangan polis, serta Acong Sweetchild sebagai Pudin Belon dan Dato Ahmad Tamimi sebagai Atuk Suriani.
Sahak Gangster dijangka menemui penonton pada 9 Januari 2025, menjanjikan aksi mencabar, humor segar, dan elemen romantis.