Ikuti Kami:

Negeri Boleh Sesuaikan SOP Mengikut Keperluan

Negeri Boleh Sesuaikan SOP Mengikut Keperluan

KUALA LUMPUR: Setiap negeri dibenarkan untuk menyesuaikan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan kerajaan Persekutuan berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan negeri masing-masing.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Ketua Menteri dan Menteri Besar, minggu lalu.

“Kita mengeluarkan panduan awam ke seluruh negara mengenai SOP yang ditetapkan. Kita setuju bahawa negeri boleh menyesuaikan SOP itu dengan negeri dan daerah masing-masing.

“Bagaimanapun, ia mestilah berdasarkan SOP yang dikeluarkan kerajaan Persekutuan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan beberapa negeri memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan PKPB yang sepatutnya bermula esok, antaranya Kedah, Selangor, Pahang, Sabah dan Sarawak.

Sebagai contoh, Ismail Sabri berkata, di bawah PKPB, restoran dibenarkan dibuka sehingga jam 10 malam, namun di bandar kecil seperti di Bera, penduduk sudah tidak keluar pada waktu malam, sekali gus tiada keperluan untuk restoran dibuka sehingga waktu itu.

“Pelaksanaan itu mesti dalam ruang lingkup SOP yang diumumkan. Asalkan tidak keluar dari ruang lingkup itu, ia dibenarkan.

“Seperti yang saya maklumkan, kita membenarkan pelanggan menjamu selera dalam restoran tapi pemilik restoran pula hanya membenarkan pelanggan membungkus makanan.

“Kita tidak boleh kata ia bertentangan SOP kerana ia dibenarkan mengikut kesesuaian masing-masing,” katanya.

Komen
Loading...