Ikuti Kami:

NCF2025: Jenama Malaysia Perlu Fokus Strategi Kukuh Hadapi Cabaran 2026

NCF2025: Jenama Malaysia Perlu Fokus Strategi Kukuh Hadapi Cabaran 2026

Pemimpin industri menegaskan perlunya jenama Malaysia merangka strategi kukuh dan berfokus bagi menghadapi cabaran pasaran yang semakin kompleks menjelang 2026, termasuk persaingan serantau, perkembangan teknologi AI dan perubahan tingkah laku pengguna.

Forum CEO Kebangsaan 2025 (NCF2025) yang berlangsung di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur, hari ini menghimpunkan 200 CEO, pemimpin GLC, tokoh korporat dan pembuat dasar di bawah tema Brand Growth and Focus 2026.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli bin Hasan, menegaskan bahawa perniagaan patuh syariah memberi nilai tambah kepada jenama, bukannya sekadar pematuhan peraturan.

“Sistem pematuhan memberi kelebihan daya saing kerana ia meningkatkan keyakinan pengguna dan memperluas akses pasaran, termasuk kepada pelanggan antarabangsa,”

“Perniagaan patuh syariah tidak terhad kepada orang Islam sahaja, tetapi terbuka kepada semua pihak yang mahu menambah nilai produk dan perkhidmatan mereka,” ujarnya.

Ketua Pegawai Operasi CTOS Data Systems, Lee Shin Mei, pula menekankan keperluan perniagaan memilih rakan strategik yang tepat ketika berdepan pasaran mencabar.

“Saya rasa kolaborasi sangat penting kerana banyak kali perniagaan berhadapan bukan sahaja dengan cabaran kos, tetapi juga dengan siapa mereka berniaga. Apabila persekitaran perniagaan semakin ketat, inilah masanya anda perlu memilih,”

“Perniagaan perlu memastikan mereka bekerjasama dengan rakan niaga dan pelanggan yang betul bagi mengelakkan risiko kewangan yang tinggi,” jelasnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KNKV Group, Prof Adj. Hj Adam Richman, berkata NCF2025 menjadi platform strategik bagi syarikat-syarikat yang secara kolektif mencatat ratusan bilion ringgit jualan tahunan untuk mengukuhkan ekonomi negara melalui kerjasama jenama.

“Cabaran 2026 amat berbeza, terutama dengan kemunculan teknologi AI. KNKV Group menekankan mekanisme pengukuhan jenama supaya syarikat bersedia menghadapi perubahan pesat ini,”

“Forum ini adalah medan kolaborasi dan pembinaan naratif yang membina kepercayaan jangka panjang. Jenama yang berjuang untuk kepentingan negara dan komuniti akan sentiasa diingati,” katanya.

Beliau menambah, penyertaan bukan hanya terbuka kepada syarikat Muslim, malah banyak syarikat bukan Muslim turut menyertai kerana mengiktiraf operasi perniagaan berteraskan prinsip Islam lebih mampan dan selamat berbanding model konvensional.

Forum ini turut menampilkan taklimat kecerdasan pasaran oleh CTOS Data Systems, sesi meja bulat mengikut sektor, dan perbincangan panel bertajuk:

– Kesihatan Jenama & Prospek Pasaran 2026
– Daya Saing Jenama Malaysia di Pasaran Global
– Transformasi Strategi & Inovasi Perniagaan
– Perundangan & Perlindungan Ekuiti Jenama

Acara anjuran bersama Muslim Insiders Chamber of Commerce dan KNKV Group ini disokong oleh CTOS Data Systems sebagai Rakan Semakan, SIRIM QAS International (Rakan Inovasi), Universiti Malaysia Kelantan (Rakan Strategik) dan Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak (Rakan Guaman Rasmi).

Komen
Loading...