NBI Convertiq Sedia Bimbing Usahawan “Zero To Hero” Cipta Produk Sendiri
- oleh MDaily Editor
- 15 Oct 2025 4:41 pm

Syarikat pembuatan kosmetik dan penjagaan diri, NBI Convertiq Sdn Bhd, muncul sebagai antara penggerak baharu industri OEM (Original Equipment Manufacturer) tempatan dengan menawarkan platform lengkap bagi membantu usahawan membina jenama sendiri daripada proses pembangunan produk sehingga ke pasaran.
Mengetengahkan konsep “Sustainable Beauty and Industrial Solutions”, NBI Convertiq menggabungkan keindahan alam semula jadi dengan kemajuan sains bagi menghasilkan produk berkualiti tinggi, mesra alam dan bebas alkohol bagi menyokong gaya hidup sihat serta lestari, malah memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk menghasilkan produk yang selamat, inovatif dan berdaya saing di pasaran.
Pengarah NBI Convertiq Sdn Bhd, GIB Idris, berkata pihaknya komited membimbing usahawan tempatan terutama mereka yang baru berjinak dalam dunia perniagaan untuk menghasilkan produk berkualiti dengan jumlah minimum dan kos mampu milik.
“Ramai usahawan kecil tidak mempunyai kemampuan untuk menampung jumlah tempahan besar yang ditetapkan kilang lain. Kami di NBI Convertiq membuka peluang kepada mereka dengan kuantiti serendah 800 hingga 1,000 unit, bermula daripada bawah RM10,000,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata, selain bertindak sebagai pengeluar, NBI Convertiq turut menyediakan perkhidmatan sehenti (one-stop centre) merangkumi penyelidikan dan pembangunan (R&D), rekaan pembungkusan, penggambaran produk, pemasaran digital, pembinaan laman web serta konsultansi pensijilan Halal dan GMP mengikut jenis produk.
“Kami bukan sekadar buat produk dan serahkan kepada pelanggan. Kami bimbing mereka daripada A sampai Z, daripada reka bentuk label hingga strategi pemasaran. Kami mahu bantu mereka jadi ‘zero to hero’, bukan sekadar pengeluar tanpa arah,” jelasnya.
GIB Idris turut menambah bahawa pihaknya memberi tumpuan kepada usaha membina keyakinan dan disiplin dalam kalangan usahawan baharu, supaya mereka benar-benar memahami perjalanan pembangunan produk dan tidak tersasar selepas mendapat modal.
“Kami sedar ramai usahawan baru yang dapat geran atau pinjaman kadangkala tidak tahu ke mana hala tuju perniagaan mereka. Sebab itu kami bukan hanya buat produk, tetapi juga kawal aliran kerja dan kewangan mereka supaya dana yang diperoleh digunakan untuk tujuan betul. Kami mahu mereka berjaya, bukan sekadar mencuba nasib,” katanya.
Selain itu, katanya, kerjasama strategik dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) membolehkan syarikat berfungsi sebagai penghubung terus antara agensi pembiayaan dengan usahawan baharu yang ingin mengeluarkan produk kosmetik, penjagaan diri, makanan kesihatan dan juga produk industri lain.
“Kita bantu mereka siapkan kertas kerja, konsultasi teknikal, malah kalau mereka belum ada idea produk pun, kami boleh cadangkan formulasi dan konsep sesuai dengan bajet yang ada. Pendek kata, sesiapa yang benar-benar serius nak berniaga, kami boleh bimbing sampai jadi,” katanya lagi.
Menurutnya, NBI Convertiq yang berpangkalan di Subang dengan pejabat pemasaran di Kota Kemuning, mula beroperasi pada Ogos 2025 dan menyasarkan keuntungan sekitar RM3 juta menjelang akhir tahun hasil daripada pelbagai projek penyelidikan serta kerjasama dengan syarikat tempatan dan korporat.
“Walaupun baru, kami bukan bermula dari kosong. Kami sudah ada pelanggan sedia ada yang pernah bersama kami sebelum ini. Ramai yang kembali selepas tahu kami kini menerima tempahan kecil dan menawarkan perkhidmatan lengkap, termasuk pemasaran dan reka bentuk,” ujarnya.
Tambah GIB Idris, semua produk keluaran syarikat itu dihasilkan secara ‘water-based’ dan tanpa alkohol, bagi memastikan kualiti dan kesucian produk seiring dengan keperluan pasaran Muslim tempatan.
“Kami pastikan setiap bahan yang digunakan adalah selamat dan halal. Jika sesuatu produk memerlukan pensijilan halal atau GMP, kami akan bantu uruskan permohonan tersebut supaya pengusaha tidak perlu risau soal kelulusan,” katanya.
Sebagai langkah pertama memperkenalkan inovasi berasaskan gabungan sains dan alam semula jadi, NBI Convertiq melancarkan produk sulungnya An Najmu Ma’wa, iaitu spray antibakteria tanpa alkohol berasaskan keharuman Oud semula jadi.
Produk ini sesuai digunakan pada sejadah, telekung, pakaian harian serta fabrik rumah seperti langsir dan cadar, dengan membawa konsep “Ketenangan dalam Kesucian” yang mencerminkan visi NBI Convertiq untuk menginspirasi gaya hidup lebih bersih, suci dan lestari.
Untuk maklumat lanjut tentang An Najmu dan NBI CONVERTIQ SDN BHD, boleh melayari laman sosial @nbiconvertiqhq, atau e-mel ke [email protected], hubungi talian 03-5131 1120, 011 2883 6365 atau layari www.annajmu.com.