Nazrey Johani & The Zikr Kembali Dengan Single “Mengemis Kasih”, Umum Konsert Eksklusif 2026
- oleh MDaily Editor
- 8 Oct 2025 11:07 pm

Legenda nasyid tanah air, Nazrey Johani kembali menggegarkan industri muzik bersama kumpulan The Zikr menerusi single terbaharu berjudul “Mengemis Kasih”, yang dilancarkan secara rasmi pada 26 September lalu melalui saluran YouTube Rusa Islamic.
Lagu yang turut menampilkan Yabang, bekas vokalis kumpulan Khalifah, menjadi simbol kebangkitan semula nasyid era 90-an yang pernah mendominasi hati pendengar dengan mesej ketuhanan dan dakwah yang mendalam.
Lebih istimewa, “Mengemis Kasih” bukan sekadar kemunculan semula Nazrey, tetapi juga menandakan penggabungan semula anggota asal The Zikr, sekaligus menghidupkan kembali legasi muzik dakwah yang pernah menjadi fenomena di rantau ini.
Karya asal ciptaan Nazrey Johani dan Ustaz Pahrol Mohd Juoi ini diberi nafas baharu dengan susunan muzik moden tanpa menjejaskan roh ketuhanan yang menjadi teras lagu tersebut.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dapat kembali bersama rakan-rakan lama dalam The Zikr. Kami mahu memberi nafas segar kepada lagu ini agar sesuai dengan citarasa semasa, namun tetap mengekalkan keaslian dan mesej asalnya,” kata Nazrey.
Tambahnya, kehadiran Yabang turut memberi sentuhan tersendiri dan menjadikan lagu ini lebih harmoni dan menyentuh perasaan.
Vokal mendalam Nazrey Johani yang sinonim dengan jiwa nasyid digabungkan dengan suara harmoni The Zikr serta warna vokal unik Yabang, menjadikan “Mengemis Kasih” tampil lebih matang dan bertenaga.
Barisan terkini The Zikr dianggotai Amran Ibrahim (bekas ahli Raihan), Syamsul Masri, Meor Ahmad Sahid, Afezan Ponijan, Amin Nordin, Hafiedz Samsuri, Syawal Paino, Suhaimy Raslan dan Rosdi Zaharia.
Menurut Syamsul Masri, lagu-lagu The Zikr kekal mendapat tempat di hati peminat, bukan sahaja di Malaysia malah di Indonesia dan Thailand.
“Selepas Nazrey tidak lagi bersama Raihan, saya menemuinya dan mengumpulkan semula anggota asal The Zikr. Sejak 2023, kami aktif merakam semula lagu-lagu lama dengan sentuhan baharu seperti Antara 2 Cinta, Dunia Baru Islam, Kembali dan kini Mengemis Kasih,” katanya.
Sebagai pelengkap kebangkitan semula ini, Nazrey Johani dan The Zikr turut mengumumkan penganjuran Konsert Eksklusif The Zikr & Nazrey Johani yang dijadual berlangsung pada Januari 2026.
Menurut pengurus mereka, Mas Ayie Mas Omar, konsert tersebut bakal menjadi pertemuan penuh nostalgia yang menghimpunkan sejarah, persaudaraan dan semangat dakwah dalam satu pentas.
“Konsert ini akan membawa peminat menelusuri perjalanan panjang muzik nasyid sejak era Nada Murni hingga The Zikr dan Raihan. Beberapa artis undangan istimewa juga akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya.
Nazrey yang pernah berdepan masalah jantung kini kembali sihat dan tampil dengan semangat baharu. Dalam dunia nasyid, beliau dianggap suara emas dan ikon utama yang membentuk landskap muzik dakwah sejak tiga dekad lalu.
Video muzik “Mengemis Kasih” turut menampilkan Ustaz Amran, anggota asal The Zikr yang pernah bersama Raihan, sekaligus mengimbau semula sejarah kelahiran kumpulan nasyid paling berpengaruh dalam sejarah muzik Malaysia.
Kembalinya Nazrey Johani bersama The Zikr bukan sekadar kebangkitan muzik lama, tetapi satu penyatuan jiwa dan dakwah yang membuktikan bahawa seni berlandaskan nilai ketuhanan sentiasa relevan merentasi masa dan generasi.